MAIK tidak lantik mana-mana ejen kutip derma

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini menafikan ada melantik mana-mana individu atau syarikat untuk mengutip wang daripada orang ramai.

Yang Dipertua (YDP) MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, tindakan tegas boleh diambil termasuk membuat laporan polis terhadap mereka yang menyalahgunakan nama MAIK bagi kegiatan itu.

“Di pihak MAIK, kita tidak pernah melantik mana-mana individu dan syarikat atau ejen lantikan untuk mengutip tabung kerana sebarang urusan berkaitan sumbangan boleh terus ke MAIK atau menerusi platform dalam talian.

“Jika didapati ada yang menggunakan nama MAIK untuk kegiatan mengutip derma, boleh diambil tindakan seterusnya melaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika sidang media di Kota Bharu, hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian susulan kejadian yang ditularkan baru-baru ini mengenai individu yang menyamar sebagai wakil MAIK untuk mengutip derma.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *