Didera ibu bapa angkat, remaja lari ke balai polis

SEORANG remaja perempuan nekad melarikan diri dari rumah keluarga angkatnya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, selepas dipukul ibu dan bapa angkatnya menggunakan rotan, 22 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Manjiji berkata, mangsa melarikan diri ke Balai Polis Sri Hartamas 1.15 tengah hari pada hari kejadian.

“Mangsa bertindak sedemikian kerana tidak tahan didera dan dipukul menggunakan rotan oleh ibu dan bapa angkatnya yang masing-masing berusia 55 dan 66 tahun.

“Difahamkan punca mangsa dipukul kerana keadaan rumah berkenaan tidak terurus dan tidak dikemas oleh remaja terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

Habibi berkata, mangsa dilaporkan dalam keadaan baik dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kami juga sudah memaklumkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut dan menempatkan remaja berkenaan di tempat selamat.

“Susulan laporan itu, kedua-dua suspek ditahan pihak polis pada hari sama laporan dibuat mangsa berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, kedua-dua suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada 23 Jun lalu selepas keterangan mereka diambil bagi membantu siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera dan menganiaya mangsa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *