AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan sikap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed seperti ‘Si Luncai’.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain agar tidak mempedulikan Nur Jazlan yang dikatakan cuba meraih simpati setelah kalah teruk sehingga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Dia umpama Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Jadi tidak perlu peduli, biarkan… biarkan.
“Saya tidak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Sebelum ini, Nur Jazlan mempelawa Mohamed Nazri serta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai.
Beliau yang kalah teruk dengan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengumumkan tidak akan bertanding di Pulai pada PRU-15.
Mohamed Nazri juga yakin boleh menang jika bertanding di kerusi Parlimen Pulai kerana beliau sentiasa bercakap benar dan perkara itu diterima dengan baik oleh pengundi pelbagai kaum.
“Saya bukan seorang yang menyombong tetapi selalu bercakap benar berdasarkan fakta.
“Jika bertanding di Parlimen Pulai, saya boleh menang di situ kerana rakyat suka saya bercakap benar dan tidak menyombong.
“Di Padang Rengas itu memang kerusi UMNO yang tidak pernah kalah sejak dulu lagi.
“Ada tsunami pun tetap UMNO menang dengan selesa dan saya sudah maklumkan saya akan serah kepada pengganti saya,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan Nur Jazlan agar tidak bersifat perkauman dengan menyalahkan pengundi bukan Melayu yang didakwa tidak menyokongnya.
“Sudah lah, jangan lah nak salahkan kaum lain bila kalah. Bila kalah nak salahkan pengundi Cina dan India yang tidak memberi sokongan.
“Jangan main isu kaum kerana nak mempertahankan kelemahan kamu,” ujarnya.
Leave a Reply