negeri PH

3 negeri bawah PH mungkin pilihan raya serentak dengan PRU-15

TIGA negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor mungkin mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika Parlimen dibubarkan selepas November ini.

Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Majlis Presiden PH.

Sebelum ini, Majlis Presiden PH menetapkan pendirian agar ketiga-tiga negeri terbabit menghabiskan penggal pemerintahannya jika PRU-15 diadakan lebih awal.

“Sebelum ini kita kita jangka dibuat pilihan raya mengejut tetapi kini kita lihat kebarangkaliannya rendah.

“Ada banyak spekulasi mengatakan paling awal, pilihan raya umum hanya akan diadakan akhir tahun ini, selepas pembentangan belanjawan.

“Jika ia diadakan akhir tahun, hanya tinggal beberapa bulan untuk tamat penggal (pentadbiran) engeri. Jadi jika PRU diadakan pada akhir tahun, saya berpandangan yang kita tidak patut buat pilihan raya berasingan,” katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah berpandangan, jika jurang masa antara PRU-15 dan pilihan raya di negeri ditadbir PH terlalu kecil, kemungkinan ada beberapa perkara yang tidak berpihak kepada mereka.

“Jika pilihan raya dibuat berasingan dan (perbezaan) tempoh masa tidak lama, mungkin ada pengundi rasa kita bazirkan sumber.

“Saya akan cadangkan kepada Majlis Presiden PH agar kalau PRU diadakan selepas November, maka (pilihan raya di) Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang juga seharusnya dibuat serentak,” jelasnya lagi.

Pada masa ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan tekanan yang amat hebat daripada UMNO untuk membubarkan Parlimen segera.

Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan PH menetapkan bahawa Parlimen tidak akan dibubar sebelum 31 Julai 2022.

Walau bagaimanapun, UMNO yang tidak terlibat dengan MoU tersebut secara langsung telah mencetuskan PRN Melaka dan Johor sehingga menimbulkan kebimbangan parti itu akan melakukan langkah yang serupa terhadap kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Naib Presiden parti itu sendiri.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *