KIRA-KIRA 45 peratus daripada 10,220 pengusaha kantin di seluruh negara ‘gulung tikar’ berikutan pandemik Covid-19 selain tidak mampu menampung kenaikan kos barang mentah.

Jurucakap Solidariti Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Rushdi Abdul Majid berkata pihaknya meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula dan menyelaras harga jualan makanan di sekolah susulan kenaikan harga bahan mentah yang mendadak.

Menurutnya, harga makanan yang terikat dengan kontrak dan kadar RM2.50 bagi Semenanjung Malaysia dan RM3 bagi Sabah dan Sarawak mengikut Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tidak lagi munsabah susulan kenaikan harga barangan.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan KPM menaikkan harga RMT kepada RM4.50 bagi Semenanjung Malaysia dan RM6 bagi Sabah dan Sarawak.

“Pihak kami memberi tempoh dua bulan untuk KPM mengkaji semula dan menentukan harga baharu makanan. Sekiranya masih tiada maklum balas, kami akan hadir semula ke sini.

“Dikhuatiri akan lebih ramai wakil pengusaha kantin akan menyerahkan memorandum akibat masalah sama,” katanya lapor Berita Harian, selepas menyerahkan memorandum kepada KPM.

Memorandum diserahkan kepada Pegawai Khas Menteri Pendidikan, Mohd. Sabiq Aiman dan turut dihadiri empat wakil soladiriti berkenaan.

Program RMT merupakan inisiatif yang dilaksanakan sejak 1979 sebagai makanan tambahan kepada pelajar sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah.

Kali terakhir kadar ini dinaikkan adalah pada 2015 disebabkan kenaikan kos sara hidup yang ketika itu.

Rushdi berkata, selain kenaikan kadar RMT, sebanyak tujuh isu lain dibangkitkan dalam memorandum itu, antaranya permohonan lanjutan moratorium, lanjutan kontrak bagi semua pengusaha kantin dan menghentikan penjualan makanan dan minuman selain dijual di kantin.

Menurutnya, isu lain adalah menyarankan KPM mengkaji semula harga siling katering seisi mesyuarat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), kuota wakil persatuan dalam urusan membuat dasar membabitkan kantin dan mengadakan larangan kepada peniaga yang menjual makanan di luar kawasan sekolah.

“Setakat ini pihak kami masih boleh bertoleransi demi anak-anak yang bersekolah dan sekiranya KPM masih tidak responsif dalam isu ini mungkin pengusaha akan mengurangkan kuantiti makanan yang disediakan termasuk mengecilkan saiz ayam dalam hidangan daripada terus berhadapan kerugian,” katanya.

Tambahnya, KPM juga disaran untuk melanjutkan kontrak bagi semua pengusaha yang bermula dari 2019 hingga 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here