AHLI Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang tidak berminat menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) walaupun dipelawa oleh pemangku Presiden parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Sebaliknya, beliau ingin menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan telah mengemukakan permohonan tiga bulan lalu.
“Tetapi, disebabkan dari awal lagi saya tetap dengan pendirian untuk menyokong parti tempatan di Sarawak, jadi fokus saya adalah menyertai parti tempatan.
“Saya sudah menyatakan sokongan untuk menyokong parti tempatan, iaitu komponen GPS. Saya serah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya, saya harap permohonan saya diterima,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Jugah menambah, beliau memilih PRS kerana Parlimen Lubok Antu merupakan kerusi tradisi parti itu dan berharap dapat terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pada PRU-14, Jugah yang bertanding sebagai calon bebas, memenangi kerusi Lubok Antu dengan majoriti 1,059 undi.
Pada 12 Mei 2018, beliau bersama lima yang lain telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan parti kerajaan persekutuan ketika itu.
Kemudiannya, pada 5 Jun 2020, Jugah telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau keluar PKR lalu menjadi wakil rakyat bebas serta menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Semalam, Zuraida dilaporkan mempelawa Jugah untuk menyertai parti baharu itu yang kini mempunyai 190 bahagian di seluruh negara, selepas beliau dan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dikhabarkan akan berhijrah ke PBM.
Leave a Reply