SENARAI 15 pusat hiburan didakwa menjadi tempat pengedaran dadah sintetik di ibu negara kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya sendiri akan menyerahkan senarai itu yang diperoleh mereka kepada Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan akan berjumpa dalam waktu terdekat.
“Senarai premis pusat hiburan muzik tekno yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu diperolehi pihaknya menerusi tinjauan lapangan selain mendapat maklumat orang ramai.
“Kita mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas mereka dengan baik. Boleh dilihat paparan di media kejayaan polis merampas berkilogram-kilogram dadah dalam operasi mereka.
“Namun ada yang terlupa pusat hiburan yang membekalkan dadah di premis itu. MCCC dapat maklumat senarai pusat hiburan tekno muzik yang mengedarkan dadah sintetik seperti ekstasi, ketamin, methamphetamine dan minuman jus bercampur dadah kepada pengunjung yang majoritinya golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sekali gus merasmikan Talian Hotline Aduan Komuniti Prihatin 0195380000 inisiatif MCCC, di Kuala LUmpur, hari ini, lapor Harian Metro.
Bekas Ketua Polis Negara itu menjelaskan beliau difahamkan semasa pandemik Covid-19 banyak pusat hiburan yang diambil alih bermotifkan pengedaran dadah sintetik.
“Saya minta pihak polis bekerjasama dengan imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyerbu premis ini bagi mencegah kemudaratan khususnya anak muda kita. Siasat PR (orang perantara pusat hiburan) ini tadi yang tak diambil tindakan.
“Jangan tangkap penguat kuasa saja. PR ini yang bagi rasuah supaya melancarkan operasi sindiket. Siasat ketua sindiket dan PR terbabit. Saya akan membantu memberi maklumat lagi. Dalam senarai juga ada pemilik kelab (kelab malam),” katanya.
Ditanya adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menjadi dalang sindiket dadah itu, katanya, PR pusat hiburan akan hubungi semua penguat kuasa.
Ketika ditanya pihak media mengapakah senarai berkenaan tidak diserahkan kepada Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Musa menyatakan pihaknya lebih yakin tindakan akan segera dilakukan apabila senarai itu dihantar terus kepada Ayob Khan.
Leave a Reply