TIADA pertemuan secara peribadi antara Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini.
Memetik laporan FMT, Zuraida hanya bertemu Ismail Sabri dalam mesyuarat Kabinet.
Penjelasan Zuraida itu sekali gus menafikan spekulasi beliau dipanggil oleh Perdana Menteri bagi membincangkan tentang kedudukannya sebagai menteri Kabinet.
“Pagi ini saya hadir mesyuarat Kabinet,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas desas-desus pertemuannya bersama Ismail Sabri.
Ahli Parlimen Ampang itu turut mengesahkan bahawa Ismail Sabri masih belum memanggilnya.
Kedudukan Zuraida sebagai menteri menjadi tanda tanya selepas beliau melompat keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bersatu mahu salah seorang pemimpin parti itu dilantik untuk menggantikan tempat Zuraida kerana kuota itu dianggap milik mereka.
Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Ismail Sabri segera membuat keputusan.
Katanya, beliau sudah mempunyai calon untuk menggantikan Zuraida namun masih menunggu peluang untuk berjumpa dengan Ismail Sabri.
Namun, Zuraida seolah-olah enggan berganjak dan berharap Ismail Sabri akan membenarkannya terus memegang jawatan itu kerana perlu menyelesaikan banyak program yang dimulakannya.
Leave a Reply