Kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman terbakar

SEBUAH rumah setingkat kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman Dr Amran Japar di Kampung Gong Limau, Chukai, Kemaman, terbakar 50 peratus malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.49 malam dan 17 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Chukai serta BBP Kemaman dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah bilik sebelum api merebak ke ruang tamu dan stor melalui siling.

“Operasi pemadaman agak mencabar kerana kerangka bumbung daripada kayu menyebabkan api cepat merebak namun kepantasan anggota bomba dapat menyelamatkan rumah tersebut dari terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku, pengarah hospital itu tiada di rumah kerana mempunyai tugasan rasmi di Kuala Lumpur.

Mohd Zailani berkata, hanya dua anak dan isteri Dr Amran sahaja yang berada di rumah namun mereka berjaya menyelamatkan diri lebih awal dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Katanya, operasi selesai sepenuhnya pada 1.45 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, pihaknya sudah menyediakan sebuah rumah inap desa untuk didiami selama tiga hari oleh keluarga Dr Amran.

“Semoga beliau tabah dengan dugaan ini dan saya difahamkan beliau sekeluarga akan berpindah masuk ke kuarters kosong di Hospital Kemaman selepas ini,” katanya. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *