Pas sedia lawan UMNO pada PRU-15

PAS masih menaruh harapan dan tetap dengan pendirian untuk terus berusaha mewujudkan kerjasama dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selagi Parlimen tidak dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Bagaimanapun kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, sekiranya UMNO masih berkeras untuk bertanding secara solo maka Pas terpaksa hadapi perkara tersebut.

“Pas sudah biasa, sedia atau tidak sedia bila UMNO buat keputusan (untuk terus bekerjasama) maka Pas kena hadapi.

“Kita tidak boleh terima jika UMNO hendak bekerjasama, Pas perlu tinggalkan Bersatu kerana jika boleh kita hendak sentiasa bersama untuk kepentingan semua.

“Mungkin kita dengan Muafakat Nasional (MN), Perikatan Nasional (PN), dan mungkin kita bersendirian. Jadi semua pilihan ini kita ambil kira dan kita bersedia untuk berdepan dengan semua pilihan berkenan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) & Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’ di Kota Bharu, malam tadi, lapor Berita Harian.

Turut hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menurut Mohd. Amar, dari segi pemilihan kerusi dalam PRU-15 ia masih di peringkat perundingan dan sudah ada jawatankuasa yang dibentuk oleh parti untuk berunding.

Selain itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas sentiasa bersiap siaga menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa kerana sudah hampir memasuki tahun kelima.

“Kita sudah sedia hadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Pas pun menunggu tarikh yang diumumkan. Jika ia diumumkan awal, Pas akan membuat persediaan yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu Mohd. Amar berkata, menerusi amalan demokrasi rakyat mempunyai hak untuk memilih parti untuk mentadbir kerajaan negeri.

“Di Kelantan, mereka mempunyai pilihan sama ada Pas, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) kerana itu sahaja parti yang ada rekod serta boleh dibuat perbandingan sebelum keputusan dibuat.

“Andai kata UMNO berhasrat untuk melantik Menteri Besar, Pas pun akan melakukan perkara yang sama begitu juga PH. Rakyat boleh menilai antara Menteri Besar Pas yang sekarang ini dengan yang dicalonkan oleh UMNO dan PH,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *