SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dikesan terdapat kandungan dadah dalam badan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa yang tinggal di Kampung Sri Bintang, Kuala Krai dikejarkan ke HKK pada pukul 5 pagi semalam oleh ibunya untuk rawatan sebelum pihak hospital melaporkan kepada polis.
“Mangsa dibawa ke HKK dalam keadaan kritikal dan sebaik pemeriksaan dibuat mendapati dalam badannya terdapat kandungan dadah jenis methampethamine.
“Siasatan mendapati kanak-kanak lelaki ini dipercayai dibawa bapa saudaranya ke suatu tempat dan belum dapat dipastikan lagi sama ada mangsa diberikan dadah atau dibiarkan terdedah dengan bahan larangan itu sebelum memasukkannya dalam badan.
“Susulan itu, bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan jam 10 malam tadi dan soal siasat yang dibuat, suspek mengaku membawa anak saudaranya itu ke sesuatu tempat tapi menafikan ada memberinya dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kota Bharu, hari ini, lapor Harian Metro.
Katanya, mangsa yang kini masih kritikal sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan pihaknya sedang menunggu laporan lanjut.
Hasil ujian saringan yang dibuat ke atas suspek katnya, mendapati dia positif dadah jenis methampethamine dan turut memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah.
Permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, katanya.
Leave a Reply