Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN
AHLI Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon menafikan dakwaan beliau dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengikut langkah Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jelas beliau, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali sekali gus menyifatkannya sebagai propagadan murahan, cubaan untuk mengu domba dan melemahkan parti.
Ahli Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) itu berharap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan dakwaan tersebut supaya berhenti melakukannya.
“Hanya beberapa jam sebelum tersebar berita palsu isu itu, saya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu program dan sidang media di Johor.
“Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih di atas respon dan keyakinan Tan Sri Muhyiddin berkaitan isu ini. Serangan berita palsu seperti ini jelas menunjukkan ada pihak tertentu yang ketandusan isu cuba untuk memberikan tekanan dengan memberi persepsi negatif yang kononnya boleh melemahkan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, beberapa nama pemimpin Bersatu antaranya Mohd. Rashid dan Mohamed Azmin didakwa akan meninggalkan parti berkenaan selepas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin berbuat demikian bulan lalu.
Menurut Mohd. Rashid, sejak hari pertama menyertai Bersatu, beliau cukup yakin dengan masa depan parti dan akan terus bersama-sama dengan saf kepimpinan Bersatu dalam menyatupadukan rakyat dan membina kekuatan dalam merealisasikan matlamat parti tersebut.
Antaranya kata beliau, menjadikan negara ini sebuah negara yang bersih, telus, berintegriti, mempunyai tadbir urus yang baik, memperjuangkan keadilan sosial dan sentiasa prihatin kepada kemaslahatan rakyat untuk mendapat ‘mardhatillah’.
Bersatu katanya merupakan sebuah parti Melayu dan pribumi yang menawarkan politik baharu yang bersih serta memperjuangkan kebajikan dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia.
“Dua tahun telah berlalu, kita diuji dengan pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik tanah air. Alhamdulillah sejak awal menyertai Bersatu, saya mempunyai keyakinan yang tinggi ke atas komitmen parti dalam usaha menentang rasuah dan membela rakyat.
“Ini dibuktikan oleh kepimpinan utama Bersatu pada era Tan Sri Muhyiddin Yassin memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kelaoan sepanjang krisis melanda negara,” katanya.
Walaupun Bersatu merupakan sebuah parti politik yang masih muda, beliau berkata, dengan komitmen berterusan pihaknya percaya agenda penyatuan rakyat, melayu dan bumiputera ini bakal membawa manfaat besar dalam usaha membawa perubahan kepada negara dan rakyat keseluruhannnya.
Rakyat, orang Melayu dan bumiputera pada hari ini katanya, semakin matang dalam menilai, mereka jijik dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
“Seiring dengan agenda parti, Bersatu akan menjadi platform terbaik buat mereka. Bersatu akan terus bersama aspirasi perubahan ke arah yang lebih baik, demi menjadikan negara ini ke arah ‘Baldatun Thoyyibatun Warabbun Ghafur’ iaitu sebuah negeri yang mengumpulkan kebaikan alam dan kebaikan perilaku penduduknya serta sentiasa mendapat pengampunan Allah SWT. Insha-Allah,” katanya.
Leave a Reply