SEORANG penumpang bas persiaran maut apabila kenderaan itu terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 425.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan di Hulu Selangor, awal pagi ini.
Mangsa, Hamaizah Fadzilah, 54, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas kira-kira pukul 4.30 pagi itu, lapor Berita Harian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 4.32 pagi.
Susulan itu, beliau berkata, sepasukan 15 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa digerakkan ke lokasi kejadian.
“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 40 penumpang menghala ke selatan yang dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler 20 tan dari arah sama.
“Terdapat seorang penumpang wanita duduk di kerusi paling hadapan, tersepit di bahagian yang remuk,” kata Norazam dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pasukan bomba kemudian segera melakukan operasi untuk mengeluarkan mangsa manakala pemandu bas dan penumpang lain yang tidak cedera keluar dari kenderaan tersebut dan berkumpul di kawasan yang selamat.
“Kedua-dua pemandu (bas dan lori), masing-masing berusia 54 dan 70 tahun bersama penumpang bas yang lain tidak tersepit serta dilaporkan tiada mengalami kecederaan.
“Pada pukul 5.13 pagi, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Leave a Reply