PARTI Warisan (Warisan) Negeri Sembilan berhasrat bertanding di empat kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi Warisan Negeri Sembilan, Datuk Azman Idriz berkata, pihak ketika ini sedang mengenal pasti mana-mana kerusi Parlimen dan DUN yang sesuai untuk ditandingi

“Kerusi mana yang jadi sasaran sudah ada, tapi ia masih dalam kajian dan pemantauan.

“Bagaimanapun kita menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan apabila tiba masanya nanti,” katanya pada sidang media Seremban, hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, buat masa ini Warisan Negeri Sembilan mempunyai keahlian kira-kira 2,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan usia di 25 cawangan yang telah ditubuhkan.

Jelasnya, pelbagai usaha sedang dilakukan untuk menarik minat masyarakat menyertai Warisan terutama memperbanyakkan aktiviti untuk menarik minat golongan muda.

“Dari pasangan mata rakyat, Warisan ini parti dari Sabah tetapi sebenarnya Warisan ini ditubuhkan di semenanjung dan dibawa ke Sabah untuk bertanding.

“Sebab itu Presiden kita kini bawa parti ini ke semenanjung dan nampaknya sambutan sangat menggalakkan,” katanya.

Beliau yang sebelum ini sebagai pemerhati politik berkata, Warisan tidak bermusuh dengan parti lain dan jika ada berminat untuk bekerjasama, perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi parti.

Pihaknya yakin Warisan di Negeri Sembilan boleh pergi jauh dan kehadirannya boleh memberi pilihan kepada rakyat.

“Kita parti berbilang kaum. Bagi saya rakyat kini banyak pilihan dan Warisan salah satu daripadanya.

“Kita juga mengalu-alukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat bekerjasama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here