SEORANG bapa mendakwa anak perempuannya berusia enam tahun hampir diculik dalam kejadian di Kampung Krubong, Melaka, petang semalam.
Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian oleh bapa kanak-kanak itu berusia 45 tahun yang mendakwa anaknya hampir diculik ketika pulang mengaji kira-kira pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian anaknya bersama-sama kakak serta seorang anak saudaranya sedang berjalan untuk pulang ke rumah sebelum ditegur seorang lelaki memakai jubah putih serta berkopiah menaiki kereta dipercayai Proton Persona berwarna perak.
“Ketika tengah berjalan, tiga kanak-kanak itu ditegur seorang lelaki tidak dikenali sebelum menarik tangannya masuk ke dalam kenderaan itu.
“Terkejut dengan tindakan itu, kakak dan sepupunya segera merentap baju lelaki terbabit menyebabkan suspek terus beredar meninggalkan lokasi berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, terkejut dan takut dengan kejadian itu, ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan kemudian berlari menyelamatkan diri ke rumah saudara yang terletak di kawasan berhampiran.
Sementara itu, Christopher berkata, bapa mangsa memaklumkan ada orang awam yang sempat melihat nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek namun semakan mendapati adalah ia palsu.
“Semakan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati nombor pendaftaran diberikan didaftarkan atas kenderaan jenis Nissan Cefiro serta motosikal jenis Honda.
“Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama orang awam yang ada melihat kejadian atau mempunyai rakaman untuk tampil menyalurkan maklumat,” katanya.
Leave a Reply