HANYA 40 peratus belia Melayu yang berminat untuk mengundi sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat, kata Merdeka Center.
Memetik laporan Malaysia Now, dapatan itu diperoleh daripada kajian yang dijalankan badan tinjauan bebas tersebut bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang 30 Oktober 2021 hingga 25 Januari 2022.
Merdeka Center menyatakan, unjuran tersebut dianggap rendah memandangkan kira-kira 58 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi terdiri daripada golongan belia.
Seramai 1,216 responden dalam lingkugan umur antara 15 hingga 25 tahun yang terdiri daripada kaum Melayu dan beragama Islam terlibat dalam sesi temubual secara bersemuka di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Mengikut data demografi Jabatan Perangkaan tahun 2022, seramai 12.2 juta orang berumur 18 hingga 40 tahun layak mengundi dengan 5.8 juta pemilih baru yang didaftarkan secara automatik selepas pengenalan Undi18.
Statistik tersebut meliputi semua kaum, jantina dan agama pengundi muda.
Kajian yang sama turut mendapati hanya 33 peratus golongan belia Melayu minat berpolitik dan kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan berada pada kadar 69 peratus.
Dalam pada itu, kajian itu mendapati mereka hilang minat terhadap cabaran dan isu politik dalam negara dengan 52 peratus berpandangan negara berada dalam landasan yang salah.
Dalam satu sesi pembentangan dapatan kajian di Kuala Lumpur semalam, Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata peratusan tersebut menurun berbanding 66 peratus percaya Malaysia berada dalam landasan yang betul untuk menjadi negara maju pada survei yang dilakukan pada 12 tahun yang lalu.
Kajian itu juga mengandungi soalan-soalan yang mirip daripada tinjauan yang dijalankan pada tahun 2010 melibatkan kelompok responden yang sama.
Tambahnya, masih ramai golongan belia Melayu yang ragu-ragu terhadap proses politik dan beranggapan ahli politik adalah bersifat “transactional” ataupun boleh dibeli.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Azmil Tayeb turut memerhatikan trend yang sama dalam kalangan pelajarnya universiti yang semakin hilang kepercayaan terhadap proses berpolitik.
Sebaliknya, kata Azmil, mereka mengalih cara berpolitik kepada gerak kerja sukarelawan dengan menganjurkan program dan aktiviti kemasyarakatan dengan rakyat setempat.
Leave a Reply