PERTUBUHAN Satu Silaturahim Anak Felda (1SAF) menolak untuk cadangan menubuhkan parti politik baharu bagi mewakili peneroka Felda.

Pengerusi 1SAF, Mohammad Yahya Zakaria, ini kerana tiada kepeluan dan pada masa sama wakil rakyat di kawasan berkenaan boleh memainkan peranan mewakili suara peneroka.

“Ketika ini terdapat 54 Parlimen yang mempunyai tanah rancangan Felda di seluruh negara dengan diwakili Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik.

“Setiap wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen turut mewakili suara penduduk di Felda dan ada isu yang dibawa ke sidang Parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

Semalam, media melaporkan hasrat tokoh korporat, Tan Sri Rozali Ismail untuk menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu, bagi mewakili generasi peneroka, terutama penduduk Felda.

Mengulas lanjut, Mohammad Yahya berkata, walaupun menubuh parti baharu adalah hak setiap individu, perlu ada penjelasan mengapa parti baharu yang didakwa mewakili masyaraka Felda itu perlu diwujudkan.

“Adakah mahukan kuasa sama ada di Parlimen atau DUN atau terdapat kekecewaan berkaitan hala tuju dan pentadbiran Felda.

“Sekiranya disebabkan kekecewaan, tiada keperluan mewujudkan parti politik berkenaan, sebaliknya peneroka atau generasinya boleh bergabung dalam membawa suara dan isu berkaitan Felda ke pihak atasan,” katanya.

Mohammad Yahya berkata, ketika ini sudah banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi ditubuhkan bagi membawa suara peneroka dan generasinya ke peringkat tertinggi.

Beliau yang juga generasi kedua Felda Pasoh Dua berkata, apabila parti baharu wujud, dikhuatiri bukan sahaja berlaku perpecahan undi, malah lebih teruk berlaku perpecahan dalam kalangan masyarakat di tanah rancangan Felda.

Jelasnya, ADUN atau Ahli Parlimen di kawasan yang mempunyai tanah rancangan Felda perlu memberi perhatian kepada isu yang dibawa oleh masyarakat Felda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here