PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 hari ini.
Menurut beliau, mereka berjaya menduduki peperiksaan ini dalam suasana penuh cabaran kerana negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.
“Ketika itu, sebahagian besar calon SPM tidak dapat hadir untuk belajar secara bersemuka di sekolah kerana kekangan pandemik dan kebanyakan kelas harian diadakan secara dalam talian.
“Bagaimanapun berbekal semangat dan keazaman yang tinggi anda semua berjaya mengharungi cabaran tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook milik beliau, hari ini.
Pada masa yang sama, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut mengucapkan tahniah kepada calon-calon SPM yang beroleh keputusan cemerlang manakala kepada yang tidak mendapat keputusan sepertimana diharapkan, beliau menasihatkan mereka agar jangan sedih dan berputus asa.

Beliau berkata, jadikanlah keputusan peperiksaan yang diterima sebagai penyuntik semangat untuk meneruskan perjuangan hidup dalam fasa seterusnya.
“Banyak lagi bidang atau kursus yang bersesuaian dengan kelulusan anda boleh diceburi. Percayalah selagi kita ada kemahuan untuk belajar, pintu kejayaan sentiasa terbuka di hadapan kita.
“Saya juga ingn mengucapkan terima kasih kepada guru dan ibu bapa terlibat yang tidak pernah berputus asa mengajar dan membantu para pelajar dalam sepanjang tempoh yang sukar ini. Tahniah!” katanya.
Leave a Reply