SIASATAN pasukan pakar digital berhubung audit forensik pemilihan PKR perlu disegerakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik laporan FMT, Presiden PKR itu mahu perkara itu tidak dibiarkan berlarutan.
Menurut beliau, fokus utama parti adalah untuk menyiapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya.
“Kalau bicara soal ketelusan, soal integriti kita jangan belajar daripada penipuan lain-lain parti yang tidak berani bila sebut tentang audit forensik…mereka takut. (Tetapi), kita tidak.
“Kalau ada (kesalahan), itu soalan. Kena teliti. Cuma kita minta mereka percepatkan supaya jangan berlarutan,” katanya.
Beliau menambah, parti yang mahu bawa perubahan mesti ada dukungan kuat dari rakyat serta mesti punya satu suara dalam memungkinkan reformasi, selain memastikan proses pemilihan terus berjalan adil dan dengan integriti.
Dalam pada itu, Anwar yang menang jawatan Presiden tanpa bertanding berkata, kekuatan PKR adalah sikap beraninya untuk menyiasat aduan-aduan yang diterima berkaitan pemilihan parti itu.
Katanya, ketelusan dalam parti PKR perlu dipertahankan dan ini membezakan parti itu dengan parti-parti lain apabila disebut mengenai audit forensik.
Pada 10 Jun lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, Kongres Nasional Tahunan PKR yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 Jun ini ditangguhkan ke 15 hingga 17 Julai depan.
Beliau memberitahu, penetapan tarikh baharu itu adalah bagi membolehkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara yang telah dibangkitkan, berkaitan pemilihan parti baru-baru ini.
Sebelum itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang tewas dalam persaingan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Gombak menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengadakan audit forensik terhadap keputusan pemilihan.
Pada 5 Jun lalu, Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya terbuka untuk membuat audit forensik selepas Farhash Wafa Salvador mempersoalkan kesahihan lebih 25,000 undi dalam persaingan antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden.
Kata Farhash Wafa Salvador, seramai 147,000 ahli PKR membuang undi dalam persaingan tersebut, namun keseluruhan undi yang diperolehi oleh Rafizi dan Saifuddin Nasution hanya berjumlah 119,030.
Leave a Reply