KERAJAAN dan pembangkang perlu mengamalkan kompromi politik untuk memulihkan semula ekonomi daripada menggesa pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera, kata penganalisis politik.
Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kedua-dua pihak sewajarnya pada masa ini menumpukan kepada usaha melaksanakan apa sahaja yang dirancang untuk rakyat.
“Perlu diletakkan satu garisan yang jelas, kerajaan ataupun pembangkang dalam konteks semasa ini melihat bagaimana untuk sama-sama memastikan kepentingan rakyat menjadi satu perkara lebih utama daripada segala-galanya,” katanya kepada Bernama.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya (UM) itu mencadangkan PRU-15 diadakan tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat, berkemungkinan selepas pembentangan Bajet 2023.
“Bagi saya itu satu masa sesuai… dan pada waktu sama, saya lihat dalam proses melaksanakan PRU-15 perlu diberikan ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (untuk persediaan),” katanya.
Mandat lima tahun kerajaan semasa akan tamat pada Julai 2023 dan PRU-15 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari pembubaran Parlimen.
Sebelum ini, segelintir pemimpin parti politik mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya PRU-15 diadakan segera, namun Perdana Menteri berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya itu ketika negara berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berpendapat, situasi kini kurang sesuai untuk diadakan PRU-15 berikutan isu permasalahan sedang dihadapi rakyat yang perlu menjadi fokus utama oleh ahli politik agar kebajikan masyarakat dan kesejahteraan negara kembali stabil segera.
“Rakyat mahukan kestabilan sesegera mungkin agar kerajaan dan negara boleh beri fokus kepada cara untuk selesaikan masalah rakyat, bukan bincang mengenai politik dan sebagainya. Kalau kita boleh ‘tangguh’ sementara, maka itulah (jalan terbaik).
“Bagi saya waktu sekarang mungkin belum sesuai untuk itu (PRU-15) tetapi harus melihat pada kestabilan sesegera mungkin. Perlu lihat secara menyeluruh dan bagi saya soalan ini agak sukar untuk dijawab kerana kedua-duanya (segera dan tangguh PRU-15) adalah penting,” katanya.
Senada dengan Mohd Izzat, Ketua Ekonomi BIMB Securities, Imran Nurginias yang berpendapat, kerajaan harus memberi fokus kepada agenda membantu rakyat susulan inflasi yang telah menyebabkan peningkatan kos sara hidup dan kini bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.
Beliau berkata, banyak perkara yang harus diambil perhatian oleh kerajaan dalam menangani masalah rakyat pasca pandemik dan pelaksanaan pilihan raya hanya akan membantutkan usaha itu.
“Apabila kita adakan pilihan raya dan tukar kerajaan, kerajaan baharu akan masuk dan apa yang kerajaan semasa buat sekarang tidak akan ada kesinambungan. Saya rasa kerajaan perlu mengadakan dasar untuk melindungi rakyat dan melaksanakannya dengan betul terlebih dahulu sebelum kita bersedia untuk pilihan raya,” katanya.
Selain itu, Imran turut berpandangan, mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat hanya akan mengganggu proses pemulihan ekonomi yang kian stabil walaupun negara sedang menghadapi masalah inflasi.
Menurutnya, data prestasi ekonomi negara pada suku pertama tahun ini menunjukkan kadar pemulihan yang memberangsangkan dan ini dapat dibuktikan apabila nilai kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus dibandingkan dengan -0.5 peratus pada suku sama tahun lepas (3.6 peratus pada suku keempat 2021).
Penggunaan swasta pula menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus dibandingkan -1.5 peratus pada suku yang sama tahun lepas (1.6 peratus pada suku keempat 2021).
“Kalau kita lihat pada data, semuanya menunjukkan angka yang baik. Itu pada dasarnya menunjukkan bahawa terdapat keyakinan terhadap kerajaan kita sekarang. Mengadakan pilihan raya sekarang boleh menjejaskannya. Apabila diadakan pilihan raya, terdapat banyak ketidaktentuan dan kita tidak tahu siapa yang akan menang dan apa dasar mereka nanti,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply