KETIKA beberapa pemimpin kanan UMNO begitu ghairah mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan secepat mungkin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi reaksi menarik apabila menegaskan, kerap berbincang soal PRU-15 akan memberi kesan kepada kestabilan politik.

Bagaimanapun seperti mana dilaporkan Malaysiakini, Ismail Sabri berkata, setiap hari negara semakin hampir dengan tarikh PRU15.

Beliau turut menegaskan, kerajaan yang ada ketika ini berada dalam keadaan stabil dan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri antara pemimpin parti di dalam kerajaan.

“Saya dah beritahu tak ada seorang pun Perdana Menteri berbincang mengenai tarikh PRU secara terbuka di khalayak ramai.

“Semua Perdana Menteri tak bincang soal tarikh PRU, jadi ini beri kesan kepada kestabilan politik, kalau kita bincang jadi akhirnya tumpuan kita lebih kepada soal pilihan raya. Tetapi PRU tetap ada semakin hari semakin hampir dengan tarikh PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Perdana Menteri berkata kerajaan berada dalam keadaan stabil dengan sokongan semua pihak termasuk pembangkang bagi memboleh tumpuan diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi.

“Apa yang berlaku dalam keadaan sekarang stabil, tidak ada isu besar, pertembungan antara kenyataan-kenyataan keras parti politik juga tidak ada.

“(Kerajaan) masih stabil, ini membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negara, menyelesaikan isu kenaikan harga, memulihkan bekalan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here