SEBUAH kereta membawa lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang melarikan diri terhumban masuk ke dalam parit di Kunci Air Kuala Selangor, Jalan Kereta Api Lama, di Kuala Selangor, hari ini.
Kejadian pada pukul 5.15 pagi itu melibatkan PATI berkenaan yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 30-an dipercayai tidak mempunyai dokumen sah memasuki negara ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.19 pagi.
“Sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta terbabas ke dalam parit ketika dikejar anggota polis.
“Semua mangsa berjaya keluar dari dalam kenderaan. Mereka terpaksa duduk di atas bumbung kereta sementara menunggu bantuan bomba,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Norazam berkata, kelima-lima pendatang asing itu kemudian berjaya dibawa naik ke tebing parit.
“Dua wanita didapati patah kaki manakala seorang lelaki cedera pada bahu.
“Anggota bomba segera memberikan rawatan awal kepada mangsa. Mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke hospital dengan menggunakan trak polis,” katanya.
Leave a Reply