Oleh RIZQI ZABIDI
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil langkah untuk ‘berguru’ dengan mentor usahawan terkenal, Datuk Dr. Azizan Osman bagi merangka transformasi serta memperkembangkan perniagaan SimplySiti yang diasaskannya sejak Mac 2010.
Menurut isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, beliau secara peribadi merasakan ilmunya masih kurang dan memerlukan bimbingan walaupun sudah lebih 10 tahun menceburi bidang perniagaan.
“Sepanjang dua hari saya berada dalam kelas Azizan, saya boleh rasakan yang saya perlukan beliau untuk lebih berkembang dalam dunia perniagaan. Jika dunia hiburan boleh dianggap sebagai ‘makanan’, namun dalam dunia perniagaan saya masih kurang ilmu dan perlukan bimbingan.
“Saya seronok dapat kembali menjadi pelajar. Dalam kelas ini, saya tak fikir yang saya seorang penyanyi atau selebriti sebaliknya merasa gembira kerana dapat sama-sama melakukan tugasan bersama ‘pelajar’ lain.
“Sepanjang berada di sini, saya belajar memperbaiki diri. Saya sedar yang saya memiliki tanggungan di bawah iaitu individu yang bersama-sama memperjuangkan Simplysiti dan saya akan dapatkan ilmu itu bagi dikongsi bersama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Menandatangani Keahlian Titanium Premier Partner (TPP) dan Watikah Penyedia Latihan Richwork di The Datai, Langkawi, Kedah, hari ini.
Siti Nurhaliza merupakan individu pertama yang diterima untuk dibimbing dan menjadi rakan niaga strategik oleh Richworks sebagai TPP. Selain beliau, pasangan suami isteri, Siti Fatimah Abd. Samad dan Mohd. Sufian Sulaiman yang mengasaskan jenama pakaian terkenal, Sabella turut menandatangani perjanjian sama.
Dalam majlis itu juga Richworks turut mengumumkan pelantikan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi sebagai rakan latihan bagi membimbing usahawan jutawan.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Aku Bidadari Syurgamu itu menambah, Richworks dianggap sebagai universiti yang mampu mendidiknya untuk lebih berjaya dalam bidang perniagaan.
“Kadang-kadang apa yang kita belajar dalam buku, keadaannya tidak sama di luar. Bukan senang untuk mempraktikkan apa yang dipelajari di luar dan saya dapati, Richworks memiliki kepakaran itu untuk membantu saya lebih berkembang.
“Sebagai pemilik perniagaan, sudah tentu saya nak tembusi pasaran antarabangsa. Sebelum ini pun kita sudah masuk ke pasaran Indonesia namun terjejas akibat kedatangan pandemik Covid-19.
“Dalam masa sama, saya mahu perkukuhkan dulu perniagaan ini sebelum mungkin menceburi perniagaan lain pula. Sebab itulah saya mahu kembali belajar bagi mendapatkan bimbingan di Richworks,” katanya.
Dalam pada itu Azizan yang merupakan pengasas dan pengerusi Richworks berkata, beliau melihat empayar Simplysiti mampu melangkah lebih jauh memandangkan kekuatan yang ada pada Siti Nurhaliza sendiri selaku pengasas perniagaan tersebut.
“Melalui perbincangan dijalankan, kita akan menstruktur dan merangka semula strategi untuk Simplysiti. Apa pun kejayaan itu tidak mungkin dapat dicapai esok pagi dan pastinya memerlukan masa.
“Kita menetapkan untuk mencapai sasaran tertentu pada 2024, insya-Allah. Kita akan berusaha untuk memastikan perniagaan ini dapat dikembangkan ke luar negara termasuk di Indonesia yang memiliki pasaran cukup besar,” katanya.
Leave a Reply