Ayob nafi dakwa pegawai polis terlibat sindiket dadah

 

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan laporan mendakwa beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan ramai pegawai polis terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan oleh saya kepada Telegram Edisi Siasat.

“Laporan tersebut adalah rekaan semata-mata yang berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti di pucuk pimpinan tertinggi polis dan imej polis secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan lapor FMT.

Ayob berkata, sekiranya terdapat bukti ada pegawai dan anggota polis terlibat dengan sindiket dadah, mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas.

Katanya, semua kejayaan polis adalah hasil kerjasama mantap semua jabatan dalam pasukan itu bersama jabatan dan agensi luar.

“Ia bukan kejayaan individu. Masyarakat diingatkan tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang kenyataan tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *