Personaliti media sosial diperintah bayar ganti rugi RM100,000

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG personaliti media sosial atau ‘influencer’, Noorazira Pissal yang mengaibkan bentuk fizikal seorang wanita menerima padah apabila Mahkamah Tinggi Johor Bahru membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada Suharnizan Md Sidek.

Peguam Suharnizan, Mohd. Rasheed Hassan berkata, hukuman tersebut dijatuhkan ke atas ‘influencer’ tersebut yang lebih dikenali sebagai Eira Aziera, 39, selepas melakukan perbuatan ‘body shaming’ terhadap Suharnizan, 39, pada Ogos 2020.

Beliau berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim menetapkan keputusan tersebut dalam saman Suharnizan terhadap influencer berkenaan secara dalam talian pada 30 Mei lalu.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah perbicaraan penuh dijalankan selama lima hari dari 24 hingga 28 Oktober 2021 secara dalam talian selepas mengambil kira semua keterangan saksi-saksi dan setelah membaca hujahan kedua-dua pihak.

“Mahkamah juga telah memerintahkan Noorazira untuk menyiarkan permohonan maaf yang jelas tanpa syarat dalam semua akaun media sosial miliknya dan hendaklah dikekalkan selama enam bulan dari tarikh penyiaran.

“Selain itu mahkamah memutuskan bahawa Suharnizan melalui peguamnya telah berjaya membuktikan tuntutannya dan setelah kesemua elemen yang berkaitan telah dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 13 Oktober 2020 Suharnizan memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap Eira Aziera, di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa menghina bentuk fizikalnya atau ‘body shaming’.

Media sebelum ini melaporkan, pada 18 Ogos 2020 kira-kira jam 10 pagi, Suharnizan menulis komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ menerusi video secara ‘live’ sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook Eira Aziera.

Eira Aziera membuat satu rakaman video dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat kepada Suharnizan dan menyamakan bentuk tubuh individu tersebut dengan haiwan termasuk memaparkan gambar dia dan anaknya sebelum video berkenaan tular.

Bagaimanapun tindakan personaliti tersebut mendapat kecaman netizen sebelum Eira Aziera tampil sekali lagi dalam sebuah video memohon maaf atas perbuatannya, mendakwa gagal mengawal emosinya dan menjaga tutur kata sehingga menyebabkan ramai pihak rasa tersinggung.

Suharnizan ditemani peguamnya, Mohd. Rasheed Hassan kemudian mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada 15 September 2020 sebelum memfailkan tuntutan saman.

Mengulas lanjut, Mohd. Rasheed berkata, keputusan mahkamah itu juga selepas mendapati kenyataan yang ditujukan Eira Aziera dalam sesi siaran langsung tersebut jelas mempunyai unsur fitnah dan tidak memerlukan terjemahan sebagaimana dituntut peguam ‘influencer’ tersebut.

“Noorazira melalui peguamnya dan kenyataan tersebut jelas merujuk kepada Suharnizan di mana nama beliau telah disebut secara terang dan berulang-ulang kali pada ketika itu,” katanya.

Beliau berharap, kes tersebut akan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan sesuka hati dalam media sosial sehingga tidak memikirkan kesannya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *