Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEMUA pimpinan utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di seluruh negara diingatkan agar memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi rakyat termasuk kenaikan kos sara hidup dan inflasi yang membebankan mereka.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini mereka tidak perlu terlampau berpolitik sehingga melupakan tujuan asal menyertai politik iaitu untuk membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa.

“Dalam keadaan apa sekali pun, perhatian Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) khususnya adalah bagaimana nak urus dan bantu ringan beban rakyat yang terkesan disebabkan oleh pandemik.

“Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pun saya ambil perhatian berat dengan masalah ini. Dalam statistik terkini, kita belum keluar daripada situasi seperti pasca pandemik, negara lain di sekeliling kita dah keluar tapi kita belum keluar, masih di separuh jalan lagi sedangkan matlamat kita bukan begitu.

“Ini juga agenda utama PN dan Bersatu kerana kita tak fikir bila kerajaan nak buat pilihan raya umum. Tak payah cakap banyak soal bila pilihan raya, siapa nak jadi Perdana Menteri kerana itu semua tak penting di peringkat ini,” katanya pada sidang akhbar Majlis Jalinan Mesra PN Johor di Johor Bahru, hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam mesyuarat MPN bulan ini, beliau akan menekankan perkara itu dan sekiranya kerajaan mahu lakukan apa-apa langkah susulan ia boleh ditubuhkan beberapa pasukan petugas kerana kadar pemulihan berbeza mengikut sektor.

Katanya, proses pemulihan perlu diberi perhatian dan beliau meminta Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet kelak menerima keputusan MPN dengan menterjemahkan kepada seluruh peringkat kerajaan termasuk kementerian, jabatan dan agensi dibawahnya.

“Contohnya, mesyuarat perlu ada hampir setiap minggu sehingga keadaan baik. Saya tak nampak langkah itu diberi perhatian, saya tak kata kerajaan tidak buat apa-apa tapi tak cukup

“Nanti orang kata apa MPN buat, walhal kita dibentuk bukan nak amik alih kuasa atau jadi kementerian tetapi sekadar memberikan nasihat dan cadangan munasabah dari masa ke semasa,” katanya.

Kata beliau, di peringkat Bersatu dan PN sendiri, mereka merancang untuk melancarkan projek galakan tanaman di seluruh kawasan mereka seperti dilakukan di Bachok, Kelantan yang sudah mula menanam sayur-sayuran.

“Sambutannya baik, hasil tanaman itu kita bekalkan kepada rakyat miskin, kalau bekal secara percuma lebih baik atau paling tidak kita jual pada harga murah sahaja asalkan pulang modal kerana kita bukan nak cari untung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pendekatan seperti program Bakul Prihatin wajar dipertimbangkan semula oleh kerajaan secara bersasar kerana di sesetengah kawasan masih ada penduduk yang terkesan teruk dan memerlukan sistem sokongan untuk mereka kembali hidup normal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here