Bersatu tiada agenda tersendiri kecuali untuk PN

Oleh RAHIMI MOHAMAD

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memiliki apa-apa agenda tersembunyi mengenai kerjasama ‘khemah besar’ dengan parti lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, agenda yang didakwa tersebut bukanlah hanya untuk menguntungkan parti berkenaan sehingga mengenepikan kepentingan parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau bersetuju selagi mana-mana kerjasama yang dijalin selari dengan prinsip perjuangan PN dan menolak sekiranya ia bertentangan dengan dasar-dasar gabungan berkenaan.

“Tiada agenda tersendiri, niat kita sebagai satu gabungan adalah ambil langkah serta usaha untuk capai kejayaan, tapi ia libat pelbagai cara, strategi dan pendekatan. Saya rasa tak salah, jangan kita awal-awal asingkan yang wangi sahaja.

“Kita tak tahu kadang-kadang kita hanya buruk sangka, ada cara-cara sebab tiada salah untuk meneroka, sama ada boleh dicapai atau tidak itu masih awal untuk dikatakan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Jalinan Mesra PN Johor di Johor Bahru, hari ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Marang, semalam memaklumkan mereka tahu agenda Muhyiddin yang juga Pengerusi PN untuk bekerjasama di bawah khemah besar dengan parti-parti pembangkang pada PRU15.

Abdul Hadi berkata, pendekatan itu bagaimanapun ditolak oleh Pas dalam pertemuan yang diadakan dengan pemimpin berkenaan, sebelum ini terutama dalam soal melibatkan DAP.

Muhyiddin berkata, satu mesyuarat Majlis Pimpinan PN Pusat akan diadakan malam ini dan beliau berharap Pas termasuk Abdul Hadi hadir bersama-sama untuk mengadakan perbincangan berkaitan.

Sementara itu, ketika ditanya penolakan Bersatu Parit Sulong yang tidak mahu bekerjasama dengan DAP, Muhyiddin berkata, beliau tahu pendirian pimpinan dalam Bersatu, Pas dan Gerakan namun menegaskan tiada salah untuk bertemu dengan pihak lawan.

“Tak apa susah saya nak jelaskan di sini, kalau anda dalam parti saya senang nak jelaskan. Saya tahu parti saya punya pendirian, Pas punya pendirian dan pendirian Gerakan. Tapi apa salahnya cakap dengan musuh kita, salah tak kalau musuh nak bercakap?

“Mungkin dia kata tidak setuju tak apa lah keluar satu tapi yang lain pula kata boleh. Ada caranya, ini adalah strategi politik yang tak boleh didedahkan sehingga keadaan sesuai,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *