SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan memiliki ganja pada Ahad lepas.
Tertuduh, Munzir Azmeer Abd Rahim, 28, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Che Ku Nor Azlinda Che Ku Mahmood.
Bagaimana pun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang dipercayai menyebabkan nahas lima kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan.
Sinar Harian melaporkan, berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dalam miliki tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 3.39 gram.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan pada 5 Jun lepas pukul 10.25 pagi dalam kereta Perodua Myvi di Kilometer 242.9 Lebuhraya PLUS arah Selatan.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (akta 234) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Jun ini sebagai sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Rembau.
Leave a Reply