SEORANG pemandu teksi didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas dua pertuduhan memukul dua kenalannya, April lalu.
K. Ramani, 44, mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Hairolazhar Mohd. Ishak.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk fakta kes dan jatuh hukum, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan dengan memukul dua lelaki berusia 57 tahun di sebuah flat di Damansara pada pukul 5 petang, 1 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dipenjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab. Manaff mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perlu menjaga ibu.
“Saya masih bujang dan saya minta maaf, janji tidak akan buat kesilapan itu lagi,” katanya.
Leave a Reply