Oleh RAHIMI MOHAMAD
DUA lelaki masing-masing berdepan tiga dan empat pertuduhan secara berasingan tidak mengaku salah melakukan amang seksual fizikal dan cabul terhadap tiga mangsa ketika dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru, hari ini.
Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh, Ibnu Azim Azmi, 31, yang juga penjaga stor didakwa tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pukul 10 malam, 23 Mei lalu.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman, seorang lagi tertuduh berusia 22 tahun pula didakwa bagi tiga pertuduhan melibatkan perbuatan berkenaan terhadap sepupunya sendiri antara 2015 hingga tahun lalu.
Tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa menyentuh badan dengan cara menggeselkan kemaluan tertuduh pada kemaluan mangsa, mencium mulut dan muka ketika mangsa berusia 12 tahun.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara tahun 2015 hingga 17 Oktober 2021 di tandas dan bilik tidur di sebuah rumah di Jalan Basong, Taman Datuk Syed Idrus, Gelang Patah.
Sementara itu di Mahkamah Majistret pula, Ibnu Azim juga tidak mengaku di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat atas kesalahan cabul terhadap rakan sekerjanya berusia 20 tahun di sebuah kedai serbaneka juga di Bandar Seri Alam, pada pukul 10.15 malam, 25 Mei lalu.
Bagi pertuduhan di dua mahkamah itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang berhadapan hukuman penjara dan sebat.
Sementara tertuduh berusia 22 tahun juga didakwa di bawah Seksyen 14 (a) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew serta Nor Fadilah Johanuddin di Mahkamah Sesyen dan Nor Maisarah Hassan pula dalam prosiding di Mahkamah Majistret.
Ibnu Azim diwakili peguam, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri dan R.Subash pula mewakili tertuduh yang berusia 22 tahun itu.
Ibnu Azim dikenakan jaminan RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara serta perlu melapor diri ke balai polis terdekat setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan larangan terhadap tertuduh daripada mengganggu dan menghampiri mangsa serta keluarganya sehingga kes selesai selain menetapkan tarikh 12 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Siti Noraida turut menetapkan jaminan RM15,000 untuk tiga pertuduhan berserta syarat tambahan sama kepada tertuduh berusia 22 tahun termasuk dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta tarikh 7 Julai untuk sebutan semula.
Leave a Reply