SEORANG peniaga dalam talian didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu Kelantan hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis yang palsu di Kubang Kerian minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Hadiq Hamdi Mohd Suhaimi, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pegawai Pendaftar, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis palsu dengan mendakwa dia dirompak dua lelaki pada Sabtu lalu yang menyebabkan kerugian RM6,000 ketika berada di belakang sebuah bank di Kubang Kerian.
Memetik laporan Harian Metro,kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Kubang Kerian pada pukul 12.37 tengah hari Ahad lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 kanun keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Ab. Rahman.
Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon menawarkan jaminan RM3,000 dan dan Nik Nazriani pula memohon jaminan minima dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh hanya bekerja sambilan sebagai peniaga dalam talian.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai sebagai tarikh jatuh hukum.
Leave a Reply