Abbas Azmi

Zahid kaya, mungkin tak terasa dengan kos hidup – Pemuda Amanah

PEMUDA Amanah menyifatkan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera dilihat sebagai biadab kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Naib ketuanya, Abbas Azmi berkata, Seri Paduka pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bertitah agar semua pihak tidak meletakkan masa depan negara dan nasib rakyat sebagai taruhan dalam percaturan politik demi mencapai agenda tertentu.

“Masalah rakyat hari ini ialah bebanan kos barangan harian melampau.

“Masalah kenaikan harga dan juga bekalan makanan terhad sepatutnya menjadi keutamaan sebenar kerajaan ketika ini, dan bukannya pilihan raya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

Ahmad Zahid ketika Konvensyen Barisan Nasional (BN) 1 Jun lalu sekali lagi mendesak agar PRU-15 diadakan segera.


Katanya, empat tahun sudah berlalu sejak PRU-14 dan ini menjadikan pilihan raya seterusnya boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Isnin menegaskan kuasa untuk membubarkan parlimen dan pengumuman tarikh PRU-15 terletak di bawah YDPA.

Kata Perdana Menteri, meskipun beliau berupaya untuk menasihati Agong untuk membubarkan parlimen, namun ia adalah salah daripada segi perlembagaan untuk mengumumkan tarikh pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, Abbas berkata, kenaikan mendadak harga barang keperluan dan kadar inflasi makanan yang berada pada kadar 4.1 peratus adalah di luar kawalan dan sangat menekankan rakyat.

“Bak kata pepatah, ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Itulah yang sesuai untuk digambarkan nasib rakyat ketika ini,” katanya.

Abbas juga menyindir Ahmad Zahid dengan berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mungkin tidak terkesan dengan situasi hari ini ‘kerana beliau seorang yang kaya raya’.

“Biarpun ayam, daging, sayuran dan lain-lain makanan asas harganya naik 100 peratus pun, beliau tidak akan merasa apa-apa.

“Tetapi, bagaimana dengan basib rakyat B40? Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” soalnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *