WANITA warga Indonesia menjadi individu pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini bagi pendakwaan mengikut Akta Pergigian 2018 (Akta 804).
Harian Metro melaporkan, Putri Wahyuni, 22, yang juga Orang Kena Saman (OKS) menghadapi pertuduhan menjalankan amalan pergigian tanpa lesen, bulan lalu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis kecantikan di Bandar Puteri Puchong, Selangor, pada jam 11.47 pagi, 26 Mei lalu, dengan pendakwaan mengikut Seksyen 62(1) Akta 804.
OKS boleh dihukum mengikut Seksyen 62(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mohamad Shafiq Mohd. Sazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 19 Julai depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pertuduhan mengikut seksyen itu adalah yang pertama sejak Akta 804 berkuat kuasa 1 Januari lalu yang menggantikan Akta Pergigian 1971 (Akta 51) yang sudah digunakan selama 50 tahun.
Akta itu bagi mengawal selia amalan dalam bidang pergigian dan mengambil tindakan terhadap mana-mana aktiviti yang tidak mematuhi peruntukanm terutamanya yang dilaksana secara haram.
Leave a Reply