SEORANG penolong akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terenganu hari ini atas pertuduhan meminta suapan berkaitan perbekalan alatan pejabat berjumlah RM10,640 tahun lalu.
Sazawati Salleh, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Tertuduh yang merupakan kakitangan di Majlis Daerah Marang (MDM) didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan pada 12 Januari 2021.
Dia didakwa mengambil tindakan dengan mencadangkan sebut harga untuk menjalankan kerja memasang karpet di ruang pejabat dan bilik pegawai bahagian kewangan MDM terbabit bernilai RM10,640 yang secara tidak langsung mempunyai kepentingan dengan suaminya.
Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Husni Mubarak Ghazali.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 oleh seorang penjamin beserta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah, serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Leave a Reply