SERAMAI 1,021 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri (B) Mohamed Hashim Mohd Ali mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Seramai 18 individu menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Tiga pegawai kanan perkhidmatan awam yang menerima PSM ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Dr Azmi Rohani.

Turut menerima PSM ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim.

Selain itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia Datuk Low Kian Chuan, bekas Presiden dan Pengarah Eksekutif Malayan Banking Berhad Datuk Seri Abdul Farid Alias, Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan dan Pengarah Eksekutif United U-Li Corporation Berhad Datuk Lee Yoon Kong.

Turut menerima PSM Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, Pengasas dan Pengarah Urusan T.A.G. Marine Sdn Bhd Datuk Seri Dr Noormustafa Kamal Yahya, bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Osu Sukam, bekas Menteri Kesihatan dan bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Subramaniam, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta bekas Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan, bekas Menteri Pendidikan Tinggi dan juga Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh serta bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Datuk Tengku Muhaini Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah merupakan antara 23 penerima Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Penerima PJN lain ialah Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Rostam Affendi Salleh, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Azhahari Kamal Ramli, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel, Timbalan Gabenor Bank Negara Chew Cheng Lian dan bekas pemain badminton negara Foo Kok Keong.   

Tiga penerima darjah kebesaran Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran ‘Datuk’ ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan Jabatan Perdana Menteri Jazmanie Shafawi, Ketua Protokol di Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Juruiring Yang di-Pertuan Agong ke-14, Laksamana Pertama Datuk Shahrum Shaim.

Seramai 48 individu menerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) termasuk Pengarah Bahagian Perancangan Kementerian Kesihatan Dr Rozita Halina Tun Hussein.

Bagi darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) pula sebanyak 67 individu disenaraikan sebagai penerima termasuk bekas Juruiring Perdana Menteri SAC Nik Ezanee Mohd Faisal.

Penerima tunggal bagi Darjah Johan Setia Diraja (JSD) dikurniakan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman DCP Muhammad Abdul Halim.

Seramai 183 individu dikurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk Pengasas Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia Kuan Chee Heng, Exco Pergerakan Puteri UMNO Naszriah Ngasri dan Penasihat Persatuan OKU Sentral Mohd Radzi Wahab.

Tahun ini juga menyaksikan seramai tujuh individu dianugerahkan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) dan 250 dikurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) termasuk Editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohamad Bakri Darus manakala 377 individu menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) serta 43 Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here