PERBEZAAN pendapat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (KJ) dengan pemimpin UMNO berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menarik perhatian ramai.
Malah, pendapat KJ mengenai perkara tersebut seperti dilaporkan The Straits Times Singapura, yang mengatakan tiada keperluan mendesak untuk PRU-15 diadakan segera perlu dilihat dan direnungi secara mendalam.
Dalam laporan itu, KJ tidak menafikan kepentingan kestabilan politik namun beliau berpendapat tidak ada bezanya jika PRU-15 diadakan pada tahun ini atau tahun depan. Beliau menyifatkan mereka yang mahukan pilihan raya awal sebagai golongan terdesak mahu menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Sebelum ini, pada Konvesyen BN beberapa pemimpin kanan parti itu dilihat cuba memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin.
Malah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka meminta mereka yang berada dalam Dewan Merdeka bangun jika bersetuju PRU-15 perlu diadakan secepat mungkin manakala Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan, melewat-lewatkan PRU boleh memberi masalah kepada BN.
Apa yang penulis perhatikan, sejak kebelakang ini pertentangan pendapat serta sindiran secara terbuka terhadap pemimpin tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin terserlah.
Selain KJ, antara pemimpin yang dilihat lantang bersuara termasuklah Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Annuar yang dikatakan pemimpin UMNO dalam team kerajaan berstatus menteri sebelum ini membidas pemimpin parti itu yang ‘menyerang’ beliau berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang menjadi wakil kerajaan menandatangani MoU tersebut dalam catatannya di Facrbook (FB) hari ini nenjelaskan bahawa tiada ‘tarikh luput’ berhubung perjanjian tersebut. Tarikh luput MoU itu mencetus perbalahan antara pemimpin UMNO, apabila ada antara mereka mendesak supaya PRU-15 diadakan selepas 31 Julai ini dengan tanggapan ia tempoh MoU itu berakhir.
Bagaimanapun Annuar menegaskan, MoU itu tidak mempunyai tarikh luput dan tarikh 31 Julai yang menjadi persoalan itu sebenarnya berkaitan pembubaran Parlimen sahaja.Sekalipun perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin UMNO dianggap sebagai perkara biasa, namun bagi penulis ia ‘berpenyakit’ serta mengandungi sesuatu yang tersirat.
Ini kerana, dalam dunia politik kita tidak mampu untuk menterjemah setiap kemahuan seseorang hanya berdasarkan kepada andaian, kenyataan atau percakapan semata-mata.
Sebaliknya pentafsiran politik itu akan terjawab sebaik sahaja ia berada di penghujung dan hari penentuan untuk dimuktamadkan.
Dalam isu perbezaan pendapat antara pemimpin tertentu UMNO dengan Presidennya, penulis percaya dan menjangkakan KJ dan Nazri seakan cuba memberi isyarat awal kepada pemimpin tertinggi serta akar umbi partinya bahawa mereka akan kembali bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO tidak lama lagi?
Dalam sesi pemilihan parti pada sesi 2018-2021, KJ bersama Ku Li membuat kejutan apabila mengumumkan bertanding jawatan Presiden UMNO untuk menentang Ahmad Zahid. Bagaimanapun keduanya tewas apabila Kuli hanya memperoleh 30 undi, KJ (61 undi) manakala Ahmad Zahid (99 undi).
Bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pula, Annuar yang memperoleh 59 undi tewas kepada Datuk Seri Mohamad Hassan yang memperoleh 131 undi.
Berdasarkan ramalan beberapa pemerhati politik, KJ dan Annuar dijangka kembali merebut salah satu jawatan tertinggi tersebut sekiranya Ahmad Zahid masih menerajui parti. Bagaimanapun jika Ahmad Zahid berundur dengan memberi laluan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menjadi Presiden, mungkin perkara itu akan berubah.
Jika berlaku sebaliknya, kedua-dua pemimpin berkenaan KJ dan Annuar dikatakan bakal bertanding jawatan Presiden.
Berdasarkan kepada itulah penulis difahamkan mengapa parti itu beria ia meminda perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepasPRU-15). Pindaan perlembagaan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO (PAU Khas) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 15 Mei lalu.
Persoalannya, apakah rasionalnya pindaan perlembagaan dibuat jika bukan kerana takut kepada bayang-bayang pertandingan dan kekalahan dalam mengekalkan jawatan? Kita tunggu dan lihat…
Leave a Reply