Pampasan RM2.6 juta dalam kes doktor cuai khatan wajar

KERAJAAN didapati bertanggungjawab ke atas saman kecuaian berkaitan proses berkhatan 12 tahun lalu kerana doktor di dua hospital kerajaan lambat memberi rawatan kepada plaintif, kata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Hakim Akhtar Tahir berkata, pembantu hospital di Hospital Kuala Lipis yang mengendalikan prosedur pada sebelah pagi cuba mencantumkan semula kepala alat sulit yang terputus dengan menjahitnya.

Beliau berkata, pembantu hospital itu memaklumkan kepada hospital mengenai kejadian itu dan menasihatkan dia membawa lelaki terbabit ke pusat perubatan.

Akhtar berkata, Hospital Kuala Lipis sepatutnya menyediakan segera ambulans untuk menghantar plaintif ke Hospital Selayang.

“Dengan melengahkan pemindahan ke Hospital Selayang dan sebaliknya menghabiskan masa untuk menyelesaikan perkara remeh, mahkamah ini mendapati defendan pertama (pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis) telah melanggar kewajipan penjagaannya untuk memberikan rawatan segera,” katanya lapor portal FMT.

Akhtar juga berkata, kakitangan perubatan Hospital Selayang juga tidak mengambil langkah untuk membuat persiapan kemungkinan pembedahan dilakukan walaupun telah dimaklumkan mengenai kes itu lebih awal.

“Terdapat kelewatan lagi dalam pembedahan yang dilakukan pada lewat petang, kira-kira 10 jam selepas kejadian itu,” kata Akhtar dalam penghakiman bertulisnya yang dikeluarkan minggu lepas.

Beliau mendapati kakitangan perubatan Hospital Selayang melanggar tanggungjawab penjagaan mereka dengan menangguhkan pembedahan.

Pada 7 April, Akhtar membenarkan ganti rugi khas RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000, ganti rugi teladan RM500,000 dibayar kepada lelaki berusia 22 tahun itu.

Kerajaan memfailkan rayuan terhadap liabiliti dan kuantum ganti rugi yang diberikan.

Empat defendan lain ialah pegawai perubatan dan pengarah Hospital Kuala Lipis dan pakar serta pengarah Hospital Selayang.

Akhtar berkata, beliau memilih untuk menerima keterangan daripada dua saksi pakar bahawa kelewatan melakukan pembedahan telah menyebabkan keadaan menjadi mustahil untuk pembedahan itu berjaya.

Akhtar berkata, kegagalan dalam cubaan untuk mencantumkan semula kepala alat sulit itu telah menyebabkan kesan emosi dan fizikal terhadap plaintif.

“Kerugian utama yang dialami oleh plaintif ialah kehilangan aset paling berharga dimiliki oleh seorang lelaki,” katanya dengan menambah bahawa tiada wanita yang tahu mengenai keadaan plaintif itu mahu berkahwin dengannya.

Hakim itu berkata, ketika memberi keterangan, ibu mangsa berkata anaknya menjadi seorang yang berpersonaliti introvert selepas kejadian berkenaan.

Katanya, mahkamah berpendapat adalah wajar untuk memberikan ganti rugi teladan dan ganti rugi punitif (RM1 juta) dalam kes ini kerana terdapat pengabaian secara terang-terangan oleh defendan untuk memastikan rawatan segera serta menunjukkan sikap tidak ambil peduli sepenuhnya terhadap kecederaan yang dialami.

Lelaki itu memfailkan saman pada 19 Julai 2018 melalui ibunya dengan mendakwa proses khatan itu tidak dilakukan mengikut prosedur hingga menyebabkan seluruh kepala alat sulitnya terputus.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *