DALAM keghairahan UMNO mendesak Parlimen segera dibubarkan, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bimbang dengan tanggapan negatif rakyat terhadap gabungan politik tersebut.
Memetik laporan Malaysiakini hari ini, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO mengingatkan semua pihak dalam BN bahawa mereka sering dikaitkan oleh rakyat dengan gejala ‘gila kuasa, korup dan salah guna kuasa’.
“Bila saya bertanya, bagaimana boleh kita mengungkapkan BN, jawapan yang saya terima kebanyakannya ‘standard’.
“Rata-ratanya memberi jawapan, BN adalah parti politik pelbagai kaum. Atau BN adalah parti memerintah. Atau BN adalah gabungan pelbagai parti tetapi dikuasai UMNO.
“Kalau jawapan versi yang lebih teruk pulak, BN dikaitkan dengan ‘gila kuasa, korup, salah guna kuasa dan pelbagai konotasi negatif’.
“Semua ini sangat membimbangkan. Kita dilihat sebagai satu parti politik dengan ‘status-quo’ yang negatif dan tidak memukau imaginasi,” katanya dalam teks ucapan ketika merasmikan Konvensyen BN sempena ulang tahun ke-48 gabungan parti politik itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pagi ini.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut menggesa BN agar tidak terus terperangkap dalam ‘nostalgia silam’ selaku parti pemerintah.
“Kita tidak boleh leka dibuai nostalgia bahawa, BN akan memerintah semula, hanya kerana kita sekarang menjadi sebahagian dari kerajaan.
“Apa yang berlaku, dalam semua kemenangan pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, bukan jaminan bahawa BN akan pasti menang, dan menguasai kerajaan dengan mudah.
“Jika kita beranggapan sedemikian, maka saya tegaskan hari ini bahawa, anggapan seperti itu bukan sahaja salah.
“Malah, berbahaya dan berisiko kepada BN,” ujarnya lagi.
Leave a Reply