kak chah nasi lemak percuma

Peniaga berhati mulia beri nasi lemak percuma kepada pelajar

PENGALAMAN menjalani hidup susah dan dibebani masalah kewangan sehingga tidak dapat meneruskan pelajaran, mendorong seorang peniaga gerai nasi lemak, Siti Aishah Othman menawarkan makanan secara percuma kepada pelajar.

Mahu dikenali sebagai Kak Chah, 32, yang baru sebulan berniaga di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengalu-alukan para pelajar di universiti itu untuk datang mengambil makanan secara percuma di gerainya.

Inisiatif sejak dua hari lepas itu tular di media sosial, menyebabkan ramai pelajar beratur seawal pukul 7 pagi untuk mengambil nasi lemak biasa yang lengkap dengan ikan bilis, timun, kacang, dan telur secara percuma.

“Masa saya mula berniaga di sini ada budak-budak (pelajar) tiap hari datang beli nasi lemak biasa yang saya jual RM1 sebungkus.

“Saya faham mereka perlu berjimat, tetapi takkan nak makan nasi lemak biasa sahaja setiap hari, dan ada yang bayar guna duit syiling. Dari situ saya nampak kesusahan mereka, jadi saya sedekah sahaja,” katanya ketika ditemui di UTM di Skudai.

Menu nasi lemak yang dijual Kak Chah.

Dua hari lepas, nota Siti Aishah yang bertulis ‘Adik-adik pelajar kalau langsung tidak ada duit jangan tahan lapar datang sini beritahu, saya belanja, saya pun pernah jadi pelajar jangan malu’, tular di media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi dan pujian netizen.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu yang hanya sempat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam selama setahun pada 2010 kerana mengalami masalah kewangan berkata, sejak semalam gerainya dikunjungi ramai pelajar sehingga terpaksa ditutup seawal pukul 11 pagi.

“Semalam ada individu belanja nasi lemak RM1 untuk 200 pelajar, jadi saya tolong buatkan dan semua habis diagihkan.

“Ada juga pelajar yang datang tapi malu-malu hendak ambil, saya faham kita orang susah memang pemalu tetapi saya ikhlas memberi,” kata anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu yang telah kematian ibu bapa.

Wanita berasal dari Kedah itu berkata, selain memberi nasi lemak percuma kepada pelajar, dia juga berniaga seperti biasa dengan menjual nasi lemak berlauk bagi menampung perbelanjaan. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *