Najib terus ‘dendang lagu lama’ burukkan Muhyiddin

TT langsung tak terkejut bila Najib Razak mengambil kesempatan untuk ‘menyerang’ Muhyiddin Yassin ketika Konvensyen BN.

Najib terus dendang lagu lama dengan mengungkit soal apa yang berlaku ketika negara dilanda pandemik Covid-19. Ia termasuk soal gantung Parlimen dan PKP dalam tempoh yang panjang .

TT rasa Najib sudah tidak ada modal untuk buruk-burukkan Muhyiddin, jadi beliau terpaksa ungkit isu-isu lama supaya rakyat benci kepada Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN). Faktanya semua orang tahu ketika itu negara sedang berhadapan dengan satu situasi yang tidak pernah dialami oleh negara sejak merdeka.

Muhyiddin terpaksa melakukan tindakan-tindakan drastik bagi memulihkan negara. Apatah lagi ketika itu walaupun berada dalam kerajaan, segelintir ahli Parlimen UMNO bertindak bagaikan ‘duri dalam daging’.

Malah Najib sendiri pun hampir setiap hari mengkritik apa sahaja usaha dilakukan oleh Kerajaan PN ketika itu bagi menangani pandemik berkenaan. Kalau Muhyiddin tidak menggantung Parlimen, kestabilan politik akan tergugat kerana ada gerakan mahu melaksanakan undi tidak percaya.

Undi itu bukan untuk kepentingan rakyat tetapi demi membuka laluan kepada UMNO dan BN kembali berkuasa selepas ditolak rakyat dalam PRU-14.

Tak kan ketika negara tengah tenat akibat pandemik Covid-19 nak ditambah pula dengan krisis politik? Begitu juga bila PKP terpaksa dipanjangkan, ia dilakukan semata-mata untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

Bayangkan jika PKP ditamatkan ketika kes sedang meningkat, bukankah ia akan menyebabkan lebih ramai rakyat negara ini kehilangan nyawa? Kenapa tidak ada sekelumitpun penghargaan terhadap usaha Muhyiddin  dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK).

Kenapa Najib tidak mahu mengakui bahawa disebabkan pelaksanaan PICK lah yang memungkinkan Malaysia berada dalam keadaan sekarang? Kenapakah mahu mengungkit dan mengulangi fakta yang boleh dipersoalkan semata-mata mahu mencari keuntungan politik?

Adakah Najib semakin bimbang dengan khabar bahawa biarpun PN kalah di Melaka dan Johor tetapi jumlah undi atau sokongan kepada PN yang diterajui oleh Muhyiddin semakin meningkat?

Inilah adalah fakta, kajilah keputusan PRN di kedua-dua negeri itu. Lagipun semasa pilihan raya berkenaan diadakan jumlah peratusan keluar mengundi adalah rendah terutamanya di Johor.

Keadaan inilah memungkinkan Najib bimbang, tambahan pula dalam kalangan pemimpin-pemimpin BN sendiri mengakui kejayaan di Melaka dan Johor tidak boleh menjadi ukuran sokongan rakyat kepada BN.

Oleh itu TT nak nasihatkan Najib cukup-cukuplah nak buruk-burukkan PN, kenapa tidak serang juga Pakatan Harapan habis-habisan? Kenapa hanya berani serang Muhyiddin? Apapun TT yakin rakyat tidak akan terpengaruh dengan ‘lagu lama’ yang cuba didendangkan oleh Najib. Mereka tahu menilai sejauh manakah kejayaan Muhyiddin menguruskan negara ketika pandemik.

Apa yang mereka nikmati sekarang adalah hasil perjuangan Kerajaan PN dan Muhyiddin, mereka tahu apa yang kerajaan lakukan ketika ini hanya meneruskan apa yang sudah dirancang dan disusun oleh kerajaan terdahulu.

Kalaulah apa yang dilakukan oleh Muhyiddin ketika memimpin kerajaan dahulu seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak betul sudah pasti ia tidak akan diteruskan sehingga ke hari ini.

Tetapi ia masih dilaksanakan manakala Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan Muhyiddin terus mengemukakan cadangan kepada kerajaan seperti pembukaan sempadan yang ternyata menghidupkan kembali ekonomi.

Inilah yang cuba ‘ditutupi’ oleh Najib, kalau tidak kenapa secara tiba-tiba bekas Perdana Menteri itu ‘menyerang’ Muhyiddin di Konvesyen BN yang sepatutnya membincangkan soalan dalaman BN termasuk berani mengemukakan usul ‘merehatkan’ atau ‘menyingkirkan’  pemimpin-pemimpin yang telah mencemarkan BN dan UMNO dengan kes mahkamah mereka.

Atau adakah Najib mahu membuktikan beliau masih relevan dan paling berpengaruh dalam BN sehingga akan mengenepikan Ismail Sabri Yaakob seperti ‘adegan’ dalam satu video ketika meraikan kemenangan BN di Johor dahulu?

TT hanya bertanya sebab ada cakap-cakap Ismail Sabri sekadar calon PM tetapi belum tentu dapat mengangkat sumpah, benar atau tidak…sama-samalah kita tunggu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *