SEORANG jurutera perisian dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku salah menceroboh masuk tandas wanita dan memiliki video lucah.
Lai Wah Onn, 26, yang mengakui mempunyai masalah ‘fetish’ atau keghairahan nafsu terhadap sesuatu dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM2,000 bagi pertuduhan menceroboh, manakala kesalahan menyimpan bahan lucah dikenakan tempoh penjara sama yang akan berjalan serentak dan denda sebanyak RM800.
Majistret Nadia Othman membuat keputusan itu selepas Wah Onn membuat pengakuan atas pertuduhan terbabit.
Nadia berkata, mahkamah memandang serius kesalahan itu dan memberi amaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan.
“Mahkamah sudah mengambil kira ia adalah kesalahan pertama tertuduh yang turut memaklumkan akan mendapatkan rawatan psikiatri.
“Hukuman penjara itu berjalan serentak dan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu boleh menyebabkan dipenjara selama tiga bulan lagi,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh dengan sengaja menceroboh tandas wanita di tingkat 10 Wisma Genting, Jalan Sultan Ismail, pada 6.15 petang kelmarin.
Dengan itu, Wah Onn melakukan kesalahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan penjara maksimum enam bulan dan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Untuk pertuduhan kedua pula, lelaki berkenaan didapati mempunyai simpanan video lucah dalam telefon di tempat dan waktu yang sama.
Wah Onn boleh dihukum mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Wah Onn yang tidak diwakili peguam mengakui masuk ke tandas wanita kerana mempunyai ‘fetish’.
“Saya masuk sebab nak rakam kasut dan muka dari sudut atas. Saya ada masalah ‘fetish’ dan akan berjumpa dengan psikiatri berkaitan masalah itu.
“Saya mohon maaf atas kesalahan dan merayu hanya didenda kerana ia adalah kesalahan kali pertama,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalant Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Leave a Reply