FARHASH Wafa Salvador Rizal Mubarak yang tewas dalam persaingan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Gombak mendakwa berlaku manipulasi dalam proses pengiraan undi pemilihan parti.
Beliau yang dikalahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jika dilihat secara kasar pun persoalan terhadap sistem pengundi atas talian (PAT) sudah mendedahkan satu mekanisme dan prosedur yang diragui ketelusannya.
Menurut bekas pegawai khas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, semua undi dikumpul dan dikira oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang terdiri dari ahli-ahli parti, lalu diumumkan, tanpa sebarang semak dan imbang.
“Proses ini tidak berlaku dengan kehadiran pihak ketiga atau wakil-wakil calon, maka persoalan sama ada berlaku manipulasi adalah logik.
“Tiada siapa dari pihak calon mahupun pihak ketiga hadir dalam kiraan undi untuk mengesahkan bahawa angka-angka yang dicatat adalah benar.
“Kelewatan pengumuman keputusan sehingga beberapa hari selepas pemilihan sedangkan pengundian atas talian sepatutnya lebih memudahkan dan mempercepatkan proses, juga mendedahkan keputusan kepada manipulasi.
“Bayangkan, dalam pilihan raya umum yang melibatkan jutaan rakyat yang mana undi dan kiraan dibuat secara fizikal sahaja pun, keputusannya boleh didapati dalam beberapa jam sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Farhash Wafa Salvador menambah, agak ketara dapat dilihat begitu banyak bantahan terhadap keputusan Pemilihan PKR 2022 setelah keputusan tidak rasmi disiarkan Ahad lepas.
Beliau memberitahu, bantahan bukan sahaja daripada pihaknya, tetapi ramai calon yang bertanding turut menyuarakan berbagai keraguan terhadap keputusan tersebut.
“Ini bukan soal tidak berlapang dada menerima kekalahan, tetapi persoalannya ada berbangkit keraguan atas kemungkinan sistem dan mekanisme pemilihan parti ini telah dikompromi dan berlakunya manipulasi oleh pihak-pihak tertentu,” jelasnya.
Farhash Wafa Salvador mengingatkan bahawa PKR adalah antara suara besar dalam memperjuangkan ketelusan dan keadilan dalam proses pilihan raya di negara ini.
“Kita turun ke jalan raya memprotes ketidakadilan dalam pilihan raya melalui himpunan Bersih.
“Maka seharusnya perkara-perkara yang kita perjuangkan itu dipraktikkan dalam pemilihan parti kita sendiri, tetapi nampaknya yang sebaliknya berlaku,” katanya.
Maka, katanya, gesaan daripada semua calon yang membuat bantahan untuk satu audit forensik oleh entiti bebas ke atas mekanisme pemilihan parti disusuli satu kiraan semula undi-undi di hadapan saksi terdiri dari wakil-wakil calon adalah wajar.
“Setelah segala kesangsian dan keraguan bahawa pemilihan parti ini telah tercemar oleh manipulasi dapat di atasi, kita semua, termasuk saya sendiri, boleh berlapang dada menerima keputusan itu sebagai sesuatu yang sah.
“Keputusan pun dapatlah dikira sebagai rasmi dan yang menang boleh terus menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa sangsi.
“Syor saya supaya pertikaian sebegini tidak berulang di pemilihan akan datang adalah supaya sistem pemilihan parti ini benar-benar bebas dari campur tangan pihak yang berkepentingan.
“Aplikasi-aplikasi yang digunakan tidak boleh ada kaitan dengan mana-mana ahli. Ia sepatutnya dikendalikan oleh entiti bebas.
“Begitu juga proses kiraan undi, sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih terbuka dengan keputusan disiarkan secara langsung.
“Saya amat berharap pihak JPP dan parti mengambil serius pandangan-pandangan ramai calon-calon yang telah mengemukakan bantahan secara rasmi dan mengambil kira cadangan-cadangan untuk penambahbaikan.
“Jika kita melaungkan Reformasi, ia haruslah dipraktikkan dalam parti kita sendiri,” tegasnya.
Leave a Reply