Bekas ahli lembaga persatuan Cina didakwa hantar video lucah pada anak veteran MCA

BEKAS ahli lembaga Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Yeo Kwi Seng didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghina kehormatan seorang peguam wanita tahun lalu.

Tertuduh tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap Veronica Wong Pei Huan.

Malaysiakini melaporkan, Wong, yang merupakan anak perempuan pemimpin veteran MCA, Wong Mook Leong membuat laporan polis terhadap Yeo pada 27 Jun tahun lepas.

Pada awal bulan itu, Yeo, yang ketika itu merupakan ahli lembaga Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), dilaporkan enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada peguam.

Dia juga membuat laporan polis berhubung dakwaan cubaan seorang lelaki tidak dikenali memeras ugut dan meminta sebanyak RM10,000 daripadanya sebagai balasan untuk menarik balik dakwaan gangguan seksual.

Tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Majistret Wong Chai Sia.

Ahli perniagaan berusia 68 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu dengan menghantar video lucah menerusi WhatsApp kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Suite 5.05-5.10, tingkat lima, Imbi Plaza, di Jalan Imbi, Dang Wangi, Kuala Lumpur, antara 23 Mei dan 16 Jun 2021.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya.

Pegawai pendakwa Nom Phot Prackdit kemudian memohon ikat jamin ditetapkan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Peguambela tertuduh, Kitson Foong berkata mereka tiada bantahan mengenai jumlah ikat jamin berkenaan.

Peguam itu berkata Yeo, yang merupakan bapa kepada dua anak, tidak mempunyai risiko akan melarikan diri kerana kesalahan itu boleh diikat jamin.

“Dia (Yeo) adalah ahli masyarakat yang terkemuka, oleh itu tidak ada risiko (dia) melarikan diri,” kata Kitson sambil diperhatikan tertuduh dari kandang tertuduh.

Majistret kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin iaitu kakak ipar Yeo.

Mahkamah juga menetapkan 27 Julai ini untuk tarikh sebutan kes.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *