Saman pemula difailkan penuntut berhubung kesan vaksinasi ditolak mahkamah tinggi

SAMAN pemula yang difailkan 10 mangsa dan waris penuntut yang terkesan akibat pengambilan vaksin Covid-19 di tolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Keputusan itu sekali gus gagal mendaftarkan award semakan kehakiman yang mereka peroleh daripada Mahkamah Timbang Tara, lapor Astro Awani.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Amarjeet Singh, berkata Mahkamah Timbang Tara tiada bidang kuasa untuk mendaftarkan award semakan kehakiman.

Begitupun, hakim mencadangkan pemohon supaya mengemukakan permohonan semakan kehakiman secara terus kepada Mahkamah Tinggi dengan mengikut prosedur yang betul.

Semakan kehakiman itu adalah berkaitan tindakan undang-undang yang akan diambil penuntut di mahkamah sivil bagi mencabar keputusan kerajaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Mereka mendakwa, pelaksanaan PICK menyebabkan kematian, kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dan diskriminasi terhadap mereka yang menolak suntikan.

Dalam prosiding tersebut, penuntut dan waris mereka diwakili peguam, Mohd. Zainuddin Abu Bakar, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd. Dom hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

Terdahulu ketika prosiding, Mohd. Zainuddin memberitahu mahkamah, ex-parte award yang diberikan oleh Mahkamah Timbang Tara bagi membolehkan pihaknya mengemukakan permohonan semakan kehakiman.

Pada 25 April lalu, sekumpulan individu mewakili beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi mendaftarkan merit dan semakan kehakiman untuk menuntut hak rakyat yang terkesan akibat vaksin.

NGO itu termasuk Persatuan Prihatin Anak Jati Johor (PPAJJ), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Kebajikan Hal Ehwal Islam Malaysia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *