PGA 8 rampas 541 burung murai batu bernilai RM541,000

BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA 8) berjaya merampas sebanyak 541 burung murai batu bernilai RM541,000 dari negara jiran sebelum bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun di Kampung Jubakar Tumpat, Kelantan petang semalam.

Menurut Penolong Pegawai Pemerintah PGA 8, Deputi Superintendan K. Ramesh, rampasan dan penahan lelaki tersebut dibuat pada pukul 4 petang selepas anggotanya menahan kereta jenis Chery Eastar dalam keadaan mencurigakan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan anggotanya menemui 32 bakul plastik mengandungi 541 burung murai batu dipercayai diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok.

“Hasil soal siasat, semua burung itu akan dibawa ke utara untuk pasaran di sana. Semua barangan dirampas, manakala pemandu kenderaan yang beralamat di Grik, Perak itu pula ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Berita Harian.

Menurut Ramesh, semua burung berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (A) Akta Perhilitan 1972.

Beliau berkata, dalam penugasan PGA sempena Op Wawasan bermula 26 Mei lalu, sebanyak sembilan kes direkodkan membabitkan nilai keseluruhan lebih RM2 juta.

“Sebanyak 12 tangkapan dilakukan dan tujuh kenderaan turut dirampas.

“Kita akan terus mempertingkat dan mengetatkan kawalan sempadan dengan memantau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin serta jenayah rentas sempadan,” ujar beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *