ANALISIS
Oleh RAHIMI MOHAMAD
‘PERGESERAN’ antara Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Tunku Mahkota Johor tidaklah membawa kepada unsur derhaka atau menentang istana kerana apa yang dikatakan Menteri Besar Kedah itu mungkin berdasarkan apa yang dilihatnya sedang berlaku.
Memang benar jika melihat kepada ‘status quo’, memberi komen terhadap raja atau kerabat dikatakan tidak manis selari prinsip kedua Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada raja dan negara.
Namun, dalam hal Muhammad Sanusi dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini, ‘perang dingin’ antara mereka berkisar mengenai arena bola sepak negara yang diambil berat oleh kedua-dua mereka.
Masing-masing ada pandangan dan cara tersendiri bagi mengendalikan pasukan mereka. Yang mana baik berkongsilah…yang mana tak baik anggap sahaja sekadar pandangan, tak perlu sampai wujud suasana tidak harmoni.
Oleh itu, tiada salah bagi Menteri Besar Kedah itu menyuarakan perkara yang sebenar kerana beliau juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), sementara Tunku Ismail pula atas kapasiti pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Muhammad Sanusi pun sebenarnya tidak perlu mencipta isu atau nak komen semua benda atas dasar mencari populariti kerana beliau memang sentiasa ‘terkenal’ yang bukan sahaja sejak menjadi Menteri Besar Kedah tetapi sebelum itu lagi.
Malah, jika menyorot komen-komen yang diberikan pengguna media sosial terutamanya peminat dan penyokong tegar bola sepak, rata-ratanya bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Muhammad Sanusi cuma mereka bimbang untuk bersuara.
Jika hanya sebagai rakyat biasa atau penyokong biasa yang bersuara mengenai hal itu mungkin ia tidak akan membawa ke mana, tetapi dengan adanya pemimpin seperti Muhammad Sanusi yang juga seorang ‘kaki bola’ impaknya lebih meluas.
Sebenarnya, tidak hanya Kedah bukan pasukan super kaya seperti dikatakan Muhammad Sanusi yang harus tunduk kepada gaya gaji elit tetapi pasukan-pasukan lain juga bergelut dengan perkara itu.
Bola sepak adalah sukan rakyat, walaupun prestasi pasukan negara masih terumbang-ambing tetapi sekurang-kurangnya permainan itu mampu menyatukan rakyat di luar padang. Tidak seharusnya berlaku ‘penindasan’ dalam permainan itu kerana setiap kelab ada cara tersendiri menguruskan pasukan mereka. Kedah ada cara Kedah, Selangor ada cara Selangor dan JDT juga ada cara JDT.
Seperkara lagi perlu diingat, JDT juga melalui proses transformasi yang panjang sebelum kini terkenal di peringkat antarabangsa, dahulu kelab itu juga bukan pasukan yang sentiasa menghuni tangga teratas Liga Malaysia.
Maka, sewajarnya kelab-kelab lain perlu turut diberi ruang, peluang dan masa untuk berjaya seperti JDT termasuk Kedah yang sentiasa menghasilkan pemain pelapis yang bermutu sehingga disambar pasukan lain.
Pasukan-pasukan negeri lain juga mungkin boleh berjaya atau lebih berjaya daripada JDT sekiranya mereka mempunyai kemampuan kewangan yang sama kerana zaman kini pemain beraksi sepenuhnya secara profesional.
Seperti kata Muhammad Sanusi juga, trend pembayaran gaji yang terlampau mahal tidak boleh diikuti semua pasukan kerana Kedah contohnya perlu mengimbangi antara kepentingan rakyat dengan pembangunan bola sepak.
Leave a Reply