AMAT payah untuk diramalkan apakah ‘ending’ atau pengakhiran cerita, jalan penyelesaian dalam drama politik di negara ini.
Walaupun pelbagai andaian dan tafsiran diperkatakan oleh pelbagai pihak termasuk pemerhati, penganalisis politik serta pakar akademik, namun kemelut yang berlaku membabitkan parti-parti politik Melayu semakin bercambah.
Sehingga ini terdapat pelbagai serpihan parti politik Melayu wujud di negara ini, menyebabkan rakyat kini berada dalam keadaan serba salah.
Sebelum ini hanya terdapat dua politik Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas yang menjadi pilihan orang Melayu, kini timbul beberapa lagi serpihan parti seperti Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Bangsa Malaysia(PBM) untuk golongan tersebut membuat pilihan.
Ini tidak termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di samping segelintirnya ada menyertai DAP.
Penulis hairan kenapakah pemimpin parti politik terutama membabitkan orang Melayu di negara ini sentiasa berseteru?
Apa yang penulis tidak faham tatkala senario politik dilihat seolah tenang seperti sungai mengalir lesu, tetapi secara tiba-tiba didasarnya berkocak dan bergelombang.
Ini menyebabkan ia turut memantulkan buih-buih keresahan kepada rakyat.
Kalau dahulu, kehidupan masyarakat aman damai, tetapi kini di sana sini pemimpin mula berseteru, menyebabkan rakyat semakin keliru dan bercelaru.
Episod paling sadis setelah tumbangnya Pakatan Harapan (PH) memerintah negara ini melalui langkah Sheraton, kewujudan Perikatan Nasional (PN) menerusi gandingan parti Bersatu, UMNO dan Pas, rakyat mengharapkan suasana baharu perjalanan politik itu terus kekal.
Namun, ia berlaku disebaliknya apabila bibit-bibit perselisihan mula wujud sehingga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak meletak jawatan.
Penulis tertanya-tanya kenapa persengketaan dalaman PN antara Bersatu, Pas dan UMNO boleh berlaku?
Malah, selepas itu wujud pula kocakan dalam Muafakat Nasional (MN) yang diasakan oleh Pas dan UMNO.
Perseteruan kedua-dua parti ini juga seolah olah tiada jalan penyelesaian walaupun kedua-dua pemimpin ada memberi penjelasan.
Provokasi demi provokasi serta tuduh menuduh di antara pemimpin dalam kalangan kedua-dua parti Melayu terbesar ini turut merenggangkan permuafakatan apatah lagi apabila muncul pihak ketiga cuba memainkan peranan ke arah perpecahan.
Ia umpama runtuhnya sebuah ikatan perkahwinan dalam sesebuah rumahtangga yang cuba di manipulasikan oleh pihak ketiga.
Kita bimbang perseteruan yang berlarutan ini boleh meletakkan MN semakin parah dan jika tidak diselesaikan, ia bakal berhadapan saat getir untuk menghadapi PRU15 nanti sekiranya situasi tersebut tidak berubah.
Secara kasarnya kita melihat MN sekarang telah berpecah walaupun kedua-dua pemimpin parti terbabit ada mengeluarkan pelbagai kenyataan.
Adegan serang menyerang, tuduh menuduh secara terbuka melalui media sosial boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Malah banyak pemerhati politik meramalkan sekiranya MN terbubar sehingga memaksa hanya Pas dan Bersatu bertanding mewakili PN manakala BN pula membuat pendirian bertanding solo dalam PRU15, ia bakal membuka peluang semula untuk PH kembali memerintah negara.
Perkiraan ini dibuat memandangkan parti pembangkang terutama DAP dan Amanah telah mengambil pelbagai peluang dan kesempatan disebalik beberapa isu yang berlaku dalam PN, MN dan BN.
Justeru, dalam menyelesaikan konflik atau kemelut dalam ini, ia memerlukan satu tugas yang amat berat dan cabaran paling besar bagi pemimpin parti terbabit bagi mendepaninya.
Kesemua pemimpin parti perlu mencari pendekatan terbaik bagi merawat penyakit yang kini seakan sudah menjadi barah dalam parti politik Melayu.
Apapun tindakan diambil yang penting ialah berhubung nasib dan masa hadapan rakyat terus terjamin.
Untuk itu, penulis berharap setiap pemimpin politik Melayu usah lagi bercakaran dan berseteru sesama sendiri, kurangkan bercakap serta mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi, sebaliknya duduklah berbincang di meja rundingan dengan membuang ego masing-masing.
Kita mahukan rakyat hidup dalam keadaan selesa, aman dan tenang dengan menikmati pelbagai hasil sumber ekonomi yang ada di negara ini tanpa sebarang masalah, khususnya membabitkan kekalutan politik yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara.
Leave a Reply