SEORANG rakan tidak dapat melupakan detik-detik menyaksikan rakan baiknya terkapai-kapai sebelum tenggelam semasa mereka mandi di kolam terbiar berhampiran sebuah pasar raya di Mergong, Alor Setar, pukul 6 petang semalam.
Muhammad Yazid Mohd Marwan, 15, dan rakan yang lain cuba menyelamatkan rakannya, Muhammad Hadwan Iman Abdul Hadi, 17, yang sedang terkapai-kapai tetapi tidak berjaya.
“Saya nampak sendiri depan mata rakan baik saya, Muhammad Hadwan Iman terkapai-kapai di tengah kolam terbiar itu sebelum dia hilang dari pandangan.
“Dalam suasana panik itu, beberapa rakan lain cuba terjun untuk menyelamatkan mangsa tapi mereka berpatah balik kerana kawasan itu semakin dalam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Harian Metro, hari ini.
Dalam kejadian semalam, Muhammad Yazid bersama-sama lima rakannya termasuk Muhammad Hadwan Iman mandi di kolam terbiar itu sebelum mangsa tenggelam.
Mayat mangsa ditemui pada pukul 10.49 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang melakukan pencarian menggunakan teknik gripping iron menyebabkan tali tersangkut pada seluar mangsa yang ketika itu berada di dasar kolam.
Menurut Muhammad Yazid, mereka berlima mandi di kawasan kolam terbiar itu, namun hanya mangsa menaiki tong polistirena yang dijadikan pelampung kerana tidak tahu berenang.
“Muhammad Hadwan kelihatan seronok ketika itu kerana dapat naik tong polistirena itu sambil melihat kami mandi kerana mulanya paras air cetek namun tidak lama selepas itu tong polistirena itu dimasuki air dan dia tenggelam ke dasar kolam yang dalam.
“Saya dan rakan-rakan lain terkilan kerana tidak dapat menyelamatkannya dan saya pulang ke rumah untuk memberitahu perkara itu kepada bapanya sebelum bergegas ke sini,” katanya.
Dia dan arwah berkawan baik sejak lapan tahun lalu, malah tinggal di tempat sama iaitu di Flat Seri Gemilang, Alor Setar, walaupun berlainan sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika ditemui di lokasi pencarian berkata, kawasan kolam terbiar itu tidak berpagar dan dipercayai menjadi tempat orang memancing serta mandi walaupun terdapat papan tanda amaran dilarang mandi.
Beliau berkata, mangsa dipercayai menaiki tong polistirena itu yang dijadikan pelampung sebelum terjatuh ke dalam kolam dan lemas.
“Jasad mangsa yang ditemui pasukan bomba dan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Leave a Reply