SEBANYAK 14 ekor gajah liar dipercayai dari kumpulan Awang Tok Uban menceroboh masuk ke tiga buah kampung di Lata Rek, Kuala Krai dan merosakan kawasan kebun untuk mencari makanan, petang kelmarin.
Kehadiran sekawan gajah liar itu menyebabkan lebih 100 keluarga dari Kampung Tok Uban, Kubang Kerian dan Catan diselubungi kebimbangan.
Seorang penduduk, Mohd. Rizuman Hanafi, 37, berkata, kejadian gajah liar menceroboh masuk ke kawasan kampung bukan perkara baharu malah semakin menjadi-jadi ketika ini.
Menurutnya, kumpulan gajah liar mula menceroboh masuk ke kawasan kampung sejak 2020.
“Ketika itu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah berjaya menangkap salah seekor daripada kumpulan gajah tersebut iaitu Awang Tok Uban.
“Sejak itu kumpulan gajah yang terbahagi kepada dua iaitu 14 dan 16 ekor terus menceroboh masuk ke kawasan kebun dan penempatan penduduk bersilih ganti.
“Keadaan tersebut menyebabkan penduduk menjadi takut untuk keluar menoreh getah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Mohd. Rizuman berkata, susulan itu lebih 20 penoreh getah terpaksa ‘menggantung’ pisau toreh selepas tidak berani untuk masuk ke kawasan kebun.
“Sudah tiga hari saya dan penduduk tidak dapat keluar menoreh getah.
“Apabila tidak dapat keluar menoreh, pendapatan kami terjejas kerana menoreh getah merupakan sumber pendapatan utama penduduk di sini untuk menyara keluarga,” katanya.
Menurutnya, penduduk kampung telah membuat laporan berhubung pencerobohan gajah itu ke Perhilitan.
Katanya, penduduk berharap Perhilitan dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah tersebut.
Sinar Harian pada 18 Oktober lalu melaporkan, seekor gajah jantan berusia 30 tahun di Kampung Tok Uban, Sungai Rek di sini yang ditangkap Perhilitan berjaya dipindahkan dengan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai.
Leave a Reply