TOKOH Islam Indonesia, Ahmad Shafii Maarif atau Buya Syafii Maarif meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun di kediamannya di Kabupaten Sleman, Yogyakarta, kira-kira pukul 10.15 pagi tadi, waktu tempatan.
Ketua Umum Pengurus Pusat (PP) Muhammadiyah Haedar Nashir, kehilangan allahyarham yang juga merupakan bekas Ketua Umum PP tersebut membuatkan rakyat republik tersebut berduka.
“Muhammadiyah dan bangsa Indonesia berduka. Telah wafat Buya Prof Dr. H. Ahmad Syafii Maarif.
“Semoga beliau husnul khatimah, diterima amal ibadahnya, diampuni kesalahannya, dilapangkan di kuburnya, dan ditempatkan di jannatun na’im.
“Mohon dimaafkan kesalahan beliau dan do’a dari semuanya,” katanya menurut Astro AWani yang memetik laporan Agensi.
Berita sedih itu turut mendapat perhatian Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menyampaikan ucapan takziah menerusi laman Instagram rasmi beliau.
Menurutnya, beliau kali terakhir bertemu Buya Syafii di kediamannya di Kabupaten Sleman ketika tokoh tersebut baru selesai terima rawatan dan menurut Jokowi, pada waktu itu, Buya Syafii kelihatan sihat.
“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Atas nama pemerintah, rakyat Indonesia, saya menyampaikan belasungkawa yang dalam atas berpulangnya Buya Syafii.
“Semoga segala amal ibadah almarhum diterima oleh Allah SWT, diampuni kesalahannya, dan segenap keluarga yang ditinggalkan sabar dan tabah.
“Selamat jalan Sang Guru Bangsa,” tulis beliau dalam status yang dimuat naik kira-kira pukul 2 petang tadi.
Buya Syafii sebelum ini pernah dikejarkan ke hospital pada 14 Mei lepas akibat mengalami sesak napas.
Begitupun, keadaan bekas Ketua PP Muhammadiyah – dari tahun 1998 hingga 2005 – itu semakin baik bahkan doktor juga membenarkan Buya Syafii pulang ke rumah.
Leave a Reply